Kylian Mbappe

PARIS – Mauricio Pochettino puas hati dengan aksi Kylian Mbappe walaupun persembahan hambar pemain itu menjadi kritikan penyokong sejak akhir-akhirnya.

Bagi pengurus Paris Saint Germain itu, Mbappe masih pemain terbaik kelab dan beraksi cemerlang di atas padang walaupun belum membuka jaringan dalam perlawanan Liga setakat ini.

Penyokong membidas Mbappe hilang fokus dan prestasinya merosot dalam setiap perlawanan sejak kebelakangan ini.

Penyerang antarabangsa Perancis itu hanya menjaringkan gol dalam dua penampilan daripada 7 perlawanan setakat ini.

Mbappe juga didakwa gagal mencipta peluang gol untuk rakan sepasukannya dalam tiga perlawanan berturut-turut dan juga dalam aksi menang 2-1 ke atas Marseille dan menjulang the Trophee des Champions.

Penyokong juga mengkritik pemain itu lebih kerap melepaskan bola kepada lawan dan sering cuai di atas padang.

Bekas pemain tengah PSG dan juga jurulatih Jean-Michel Larque juga mendakwa pemain itu hilag fokus dan cuai dalam setiap perlawanan.

Bagaimanapun Pochettino mempertahankan pemain itu dengan menyatakan Mbappe masih merupakan pemain penting dalam skuad.

“Dia berusaha keras untuk pasukan dan saya gembira dengan kesungguhan dan penglibatannya dalam aksi menang terhadap Marseille.

“Saya sangat berpuas hati dengan sumbangan Mbappe atas padang walaupun pelbagai kritikan negatif dilemparkan terhadap prestasi persembahan dia.

“Dia akan kembali menjaringkan gol secara konsisten selepas ini dan berikan sedikit masa untuk dia,” katanya.-MalaysiaGazette