KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyifatkan Allahyarham Tun Dr Mohamed Salleh Abas sebagai seorang yang amat berwibawa dan berprinsip serta sentiasa mengutamakan Perlembagaan Negara dalam setiap tindakannya.

Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dengan perasaan sedih dan dukacita menzahirkan ucapan takziah kepada waris dan keluarga Salleh yang telah kembali ke Rahmatullah hari ini.

”Menurut Tuanku Sultan, Allahyarham Tun Salleh adalah pakar perundangan Malaysia yang hebat dan berprinsip yang memperjuangkan kebebasan badan kehakiman, yang melindungi hak dan keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan. Beliau menegakkan kedaulatan undang-undang dan pemisahan kuasa di bawah perlembagaan,” kata kenyataan dari Selangor Royal Office.

Allahyarham berusia 91 tahun.

Baginda berdua berharap agar keluarga Allahyarham terus tabah dan redha di atas ketentuan ini dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama para solihin. – MalaysiaGazette