Anggota Tentera Malaysia, Lans Koperal Siti Azizon Mohamad yang juga merupakan seorang ibu tunggal bergambar bersama sebahagian daripada 13 orang ahli keluarganya di Apartment Tasik Heights, Bandar Tasik Selatan. foto AFIQ HAMBALI, 14 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kisah pengorbanan Siti Azizon Mohamad yang merupakan seorang ibu tunggal empat anak termasuk seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) yang kini terpaksa menjadi ketua keluarga selepas bercerai dengan suami sejak enam tahun lalu mendapat perhatian pelbagai pihak.

Sejak disiarkan MalaysiaGazette pada Khamis lalu, wanita berusia 41 tahun itu dan keluarganya menerima pelbagai bantuan yang bertalu-talu sama ada daripada individu dan syarikat korporat.

Jelas beliau, antara pihak yang hadir memberi bantuan ialah Pusat Pungutan Zakat, Baitulmal, Yayasan Al Ikhlas, Bank CIMB dan Jakel.

“Terima kasih semua yang memberi sumbangan sama ada melalui akaun bank dan keperluan barang dapur.

Anggota Tentera Malaysia, Lans Koperal Siti Azizon Mohamad yang juga merupakan seorang ibu tunggal menjaga lima orang anak arwah adiknya di Apartment Tasik Heights, Bandar Tasik Selatan. foto AFIQ HAMBALI, 14 JANUARI 2021.
Difahamkan sumbangan wang ringgit yang diterima sudah melebihi RM20,000 dan terdapat seorang hamba Allah yang membayarkan rumah sewa keluarga itu selama setahun.

Siti Azizon dan dan 11 ahli keluarganya menyewa di rumah tiga bilik dengan bayaran RM1,000 sebulan bersama ibu dan adik bongsunya yang tidak dapat bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan hanya bekerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Wanita kelahiran Kelantan itu mengakui, kehidupannya kini hanya bergantung dengan pendapatan bersihnya sebanyak RM1,600 sebagai anggota tentera dan jualan nasi lemak dan goreng pisang oleh ibunya, Azina Ab Rahman, 58, dengan anggaran untung RM300 sebulan.

Dia perlu berbelanja dengan baki gaji sebanyak RM600 untuk 11 ahli keluarga yang perlu diberi makanan dengan memberi keutamaan membeli lampin pakai buang dan susu anak saudaranya serta beras sebanyak 20 kilogram sebulan selain peruntukan bagi persekolahan anak-anak.

“Saya masak satu lauk sahaja sehari, kalau menu daging ayam, hanya ayam sahaja dan tiada menu sayur. Kalau telur, hanya telur sahaja.

“Kadang-kadang kalau tiada wang untuk makan, saya masak ikan bilis sahaja. Atau pun buat nasi bubur dan beli sayur kangkung untuk jadi lauk,” katanya yang turut mengambil upah membasuh pinggan di restoran selepas waktu kerja. – MalaysiaGazette