Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah Covid-19 cases
Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 3,306 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini sekaligus menjadikan jumlahnya kini meningkat sebanyak 161, 740 kesemuanya.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 38,791 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Bilangan sembuh pula sebanyak 2,293 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 122,344 kes atau 75.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Daripada jumlah kes baharu harian itu, sebanyak tujuh kes import mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan Covid-19 dalam negara pula adalah sebanyak 3,299 kes.

“Bagi kes penularan di dalam negara, 2,198 kes adalah warganegara Malaysia manakala 1,101 kes adalah warga asing.

“Selangor secara konsisten masih melaporkan kes harian baharu tertinggi empat angka iaitu sebanyak 1,213 kesĀ  atau 36.7 peratus yang mana daripada jumlah berkenaan sebanyak 912 kes atau 75.2 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, Sabah pula mencatatkan sebanyak 432 kes (13.1 peratus) dan Johor sebanyak 329 kes (10.0 peratus).

Tambah beliau, sebanyak 107 kes (3.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (65 kes), Kluster Tembok Mempaga (35 kes), Kluster Tembok Nanas (empat kes), Kluster Damai Pelangi (dua kes), dan Kluster Pagar Siput (satu kes).

Sehingga kini terdapat sebanyak 226 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi di mana 94 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham juga memaklumkan terdapat pertambahan empat kes kematian Covid-19 hari ini dan sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kini sebanyak 605 kes atau 0.37 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Warga emas lelaki berusia 91 tahun antara empat kematian yang membabitkan warga tempatan.

Kematian ke-602 adalah kes ke-120, 858 itu seorang lelaki dari Sabah berusia 77 tahun meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah manakala kematian ke-603 pula membabitkan kes ke-131, 052 iaitu lelaki warga Terengganu berusia 91 tahun yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu.

“Manakala kematian ke-604 adalah kes ke-145, 018 iaitu wanita berusia 78 tahun dari Selangor yang meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh.

“Akhirnya kematian ke-605 merupakan kes ke-156, 403 membabitkan seorang lelaki berusia 59 tahun dari Selangor yang juga meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh,” tegasnya.-MalaysiaGazette