Universiti Putra Malaysia (UPM) mengerakkan lebih daripada 100 staf dan pelajar dalam misi sukarelawan KPT-UPM ke Kg. Kuala Sentul, Maran, Pahang bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di beberapa kawasan.
KITA harus akur, bahawa pandemik ini memang ternyata menjejaskan sektor-sektor penting dan besar dalam negara, justeru tidak terkecuali daripadanya adalah sektor pendidikan.
Ekoran itu, fungsi dan peranan universiti menjadi tanda tanya. Malahan, ‘keraguan’ mengenai nilai ijazah pendidikan tinggi kembali dipersoalkan tatkala pandemik Covid-19 masih belum menemui titik noktahnya.
World Economic Forum dalam satu artikelnya menyebut, bahawa antara salah satu sebab yang konkrit mengapa para mahasiswa mendaftar ke universiti adalah untuk mendapatkan akses kepada pengalaman kuliah yang sebenar, atau dengan erti kata lain; bersosial.
Perjumpaan sosial, penglibatan dalam kelab dan persatuan di universiti dan sebagainya, itulah hakikat yang menjadi inti kepada pengalaman dan proses pembelajaran di alam universiti. Oleh itu, timbul persoalan seperti apakah nilai kehidupan universiti tanpa adanya ikatan sosial.
Dalam artikel yang sama juga, World Economic Forum turut menyatakan bagaimana pandemik ini menimbulkan persoalan dan jawapan yang tidak terungkai; Adakah Covid-19 bermaksud universiti akan menyusut dan merudum?
Justeru, ini membawa kita untuk berfikir semula mengenai hakikat peranan universiti. Tanpa menafikan sama sekali kepentingan interaksi sosial dan penglibatan mahasiswa di pelbagai lapangan, penulis beranggapan itu adalah matlamat sampingan kendiri yang bertujuan meningkatkan nilai tambah dalam kalangan mahasiswa.
Namun begitu, jika diteliti semula kepada hakikat peranan universiti, kita mendapati bahawa universiti peranannya menjurus kepada tempat yang mana pemikiran bercambah, pemberdayaan bagi konsep ta’alim (mengajar) dan ta’dib (mendidik), di samping seperti mana yang disebut daripada sekelompok Al Attas
bahawa universiti adalah tempat yang paling arkitektonik dan strategik untuk mendidik, dan melatih diri perseorangan serta memperbaiki masyarakat.
Bahkan tidak terkecuali daripadanya, universiti turut dinyatakan berperanan untuk memupuk adab dan akhlak yang mahmudah (terpuji) serta membangunkan kemahiran. Yang demikian jika diperhalusi dengan baik, menyatakan bahawa fungsi dan peranan universiti masih relevan hatta dalam apa jua keadaan sekalipun.
Sekiranya mahasiswa memenuhi konteks yang dinyatakan sebagai fungsi dan peranan sebenar universiti itu, maka penulis percaya bahawa kelangsungan sebagai penuntut universiti tetap dapat diteruskan, sekalipun tanpa jasad yang hadir secara fizika.
Tanpa keberadaan kita secara fizikal di universiti sekalipun, proses mendapatkan ilmu dan mencerap pengetahuan masih tidak terbatas, kerana kekuatan intelek tidak bergantung pada dimana kita berada, tetapi pada bagaimana tindakan kita.
Pandemik ini sebenarnya menjadi satu medan untuk kita
tunjukkan hasil dan keberkesanan pembelajaran kita di universiti sebelumnya, seperti kepimpinan diri sendiri ketika dirumah, pengurusan emosi serta pemupukan adab yang dapat dilihat melalui sesi kuliah secara atas talian.
Rakan-rakan mahasiswa sekalian; ketika ini, kita semua sedang berusaha keras demi mendapatkan segulung ijazah. Kita mungkin sedikit-sebanyak merasa kemampuan kita agak terbatas apabila semuanya dijalankan secara atas talian, tetapi ketahuilah, hal sebegini bukanlah lagi sekadar satu keharusan, tetapi
sudah menjadi satu kemestian untuk kita persiapkan diri kita dengan segala macam cabaran yang mendatang.
Kekangan yang muncul tidak harus menjadikan tahap pemikiran kita kecil menguncup, sebaliknya ia patut dijadikan alasan mengapa kesusahan dan keperitan menjadikan pemikiran kita lebih besar berkembang. Agenda perjuangan universiti, walaubagaimanapun, akan tetap diteruskan.
SOFIYA TAMIZI
Mahasiswi UiTM Shah Alam,
Aktivis, Exco Intelektual & Keilmuan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).