Sebahagian arak yang dirampas dalam satu serbuan di Klang, semalam.

KUALA LUMPUR – Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu rangkaian sindiket pengedaran arak selepas menahan seorang lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Telok Gadung, Klang, Selangor semalam.

Serbuan pada jam 2 petang itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis minuman keras bernilai RM435,314 yang dipercayai diseludup.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 28 tahun itu membawa kepada penemuan dua buah lori berisi pelbagai minuman keras.

Suspek ditahan bersama dua buah lori berisi pelbagai jenis minuman keras.

“Berpandukan pada maklumat suspek, kita memeriksa sebuah rumah kedai di lokasi yang sama sebelum menemui sejumlah minuman keras yang diseludup serta tidak bercukai.

“Secara keseluruhan sebanyak 452 kotak berisi minuman keras dirampas dalam serbuan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Tambah beliau, dengan tangkapan dan rampasan tersebut pihaknya berjaya menumpas sindiket pengedaran arak yang beroperasi di Klang.

Suspek dibawa ke Balai Polis Klang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette