Pengerusi Mais Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (dua, kanan) menyerahkan cek cura bantuan masjid dan surau kepada Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor Hashim Muhammad, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyalurkan sumbangan berjumlah RM200,000 kepada 250 buah masjid dan surau terpilih yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Bantuan wang tunai melalui peruntukan baitulmal yang diberi meliputi masjid dalam dan luar bandar yang telah mendapat kebenaran solat Jumaat.

Setiausaha Mais, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, sumbangan dikreditkan ke akaun bank penerima bagi masjid luar bandar, manakala selebihnya diproses secara berperingkat.

“Sebanyak RM1,000 diagihkan kepada 150 masjid luar bandar, RM500 kepada 60 masjid dalam bandar dan RM500 kepada 40 surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan.

Antara masjid terpilih ialah Masjid Ar-Rohmaniah Kuala Langat, Masjid As-Sajidin Batang Kali dan Masjid Tebuk Sultan Sungai Tengar, Sabak Bernam.

Manakala, surau pula meliputi Surau Al-Firdaus Taman Seri Kembangan, Surau Kampung Setia Kuang dan Surau Al-Ikhlas Kampung Sungai Purun, Semenyih. – MalaysiaGazette