Datuk Seri Jamal Md Yunos. foto AZADI MOHAMAD ISKANDAR, 24 Ogos 2020.

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menawarkan diri sebagai kumpulan pertama daripada 3,000 sukarelawan untuk menjalani ujian klinikal vaksin Covid-19.

Menurutnya, beliau sedia menjalani ujian klinikal fasa ketiga bagi memastikan vaksin itu benar-benar berkesan dan selamat sebelum suntikan sama diberikan kepada rakyat.

“Sebagai pemimpin masyarakat, saya terpanggil untuk menawarkan diri kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai sukarelawan yang pertama untuk disuntik dengan vaksin Covid-19.

“Saya sedia menjadi bahan ujikaji KKM bagi memastikan vaksin ini memberi kesan baik dan selamat kepada rakyat,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sabtu lalu, KKM mengeluarkan poster menyatakan pihaknya memerlukan 3,000 sukarelawan untuk membolehkan ujian klinikal mengenai keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 dilakukan bermula 21 Januari ini.

Melalui poster itu, sesiapa sahaja berusia sekurang-kurangnya 18 tahun boleh menawarkan diri menjadi sukarelawan berkenaan.

Menurut KKM, mereka akan menyertai ujian klinikal fasa ketiga untuk vaksin yang dibangunkan Institut Biologi Perubatan Akademi Sains Perubatan China (IMBCAMS).

Berdasarkan poster yang dikongsi KKM di media sosial pada malam Sabtu lepas, sukarelawan diperlukan bagi menyumbang dalam usaha mencari vaksin yang selamat dan berkesan demi melindungi orang ramai daripada Covid-19.

Dalam pada itu, Jamal juga telah memaklumkan hasratnya itu kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba melalui surat bertarikh hari ini.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, saya secara sukarela menawarkan diri untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan pertama bagi tujuan ujian awal suntikan vaksin Covid-19 di Malaysia.

“Saya sedia mematuhi apa juga syarat dan ketetapan pihak KKM untuk memastikan kejayaan pihak kerajaan dalam menyediakan vaksin Covid-19 yang selamat kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya yang dipetik daripada suratnya, hari ini. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.