Prasarana

KUALA LUMPUR – Laporan berita oleh portal thevibes.dom dengan foto tidak bertarikh, memaparkan keadaan penumpang di dalam sebuah tren monorel dalam keadaana padat mengelirukan, kata Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Malah, syarikat itu sangsi ganbar berkenaan dirakam ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang bermula pada 13 Januari lepas.

Prasarana berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa dalam semua perkhidmatan rel – MRT, LRT dan juga Monorel dan sepanjang pengetahuan syarikat tidak pernah berlaku kesesakan seperti yang dinyatakan oleh laporan berkenaan.

”Kami juga menjelaskan bahawa perkhidmatan rel Rapid KL – MRT, LRT dan monorel dibenarkan untuk operasi 100 peratus kapasiti.

”Ini bermakna berdasarkan kepada SOP yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan, penjarakan fizikal 1 meter tidak dikenakan di dalam tren-tren Rapid KL,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Prasarana menyarankan media massa untuk memeriksa terlebih dahulu sebarang maklumat yang diperoleh untuk kesahihan.

”Kami bersedia memberikan akses kepada media massa untuk membuat tinjauan sendiri di stesen-stesen supaya mereka boleh melihat keadaan sebenar,” tambah kenyataan itu.

Monorel sekarang beroperasi dengan tren set empat-gerabak dan set dua-gerabak, kapasiti 100 peratus untuk set empat-gerabak adalah 430 penumpang manakala kapasiti penuh set du-gerabak adalah 214 penumpang.

Namun, katanya, jumlah penumpang Monorel jatuh mendadak kepada lebih kurang 10,000 sehari secara purata sejak PKP 2.0 bermula berbanding 46,000 sehari pada tahun 2019 sebelum negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Tren-tren lain seperti MRT, LRT Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling turut menunjukkan penurunan yang ketara.

Jumlah keseluruhan penumpang rel ketika tempoh PKP 2.0 adalah lebih kurang 150,000 orang sehari (hari bekerja), penurunan hampir 80 peratus berbanding tempoh pra Covid-19 iaitu 700,000 orang sehari.

”Semua perkhidmatan rel Rapid KL beroperasi dengan mematuhi dengan rapi syarat-syarat SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan.

”Pihak kami juga sentiasa memberikan peringatan di dalam tren dan di stesen untuk sentiasa mengamalkan prinsip-prinsip 3C, 3W seperti yang disarankan kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette