Pemilik restoran India Gate, S Saravanan.

KUALA LUMPUR – “Sudahlah PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan arahan tidak boleh duduk makan di kedai, had waktu operasi setakat pukul 8 malam sungguh membebankan.”

Itulah luahan pemilik restoran India Gate, Saravanan Subramaniam yang merasakan  jangka masa operasi pendek itu juga menyebabkan kutipan harian jatuh hampir 95 peratus.

Sambil membuat perbandingan antara sebuah restoran serta gerai beliau mendakwa golongan mempunyai kedai makan seperti restoran lebih terjejas teruk.

Ini kerana banyak komitmen yang terpaksa ditanggung oleh pemilik restoran bukan sahaja membayar pekerja bukan seorang dua sebaliknya sewa kedai, bil-bil serta yang lain-lain, katanya.

“Saya bukan berniat memperkecilkan pihak lain cuma cuba beri gambaran keperitan kami kepada kerajaan dan umum. Restoran memerlukan komitmen cukup tinggi, bayar sewa bangunan mana terletaknya restoran sudah mencecah ribu.

“Kami juga memiliki jumlah pekerja yang banyak, juga bil-bil lain seperti api dan air.

“Kalau dulu ketika PKP yang pertama, sekurang-kurangnya kami dapat tarik nafas sedikit kerana kerajaan telah umum moratorium yang menyebabkan pemilik bangunan dapat berunding dengan kami.

“Kali ini kita tidak ada perkara seperti itu, ingat juga ya, untung nasib sesebuah restoran itu juga dengan bilangan pelanggan hadir makan di kedai, kini itu juga tidak boleh.

“Kini kami terpaksa bergantung harap dengan take away sahaja, itu juga kita berkongsi kerana komisen perlu diberikan kepada syarikat penghantar makanan.

“Tambah pula had masa sehingga 8 malam sahaja, rakyat Malaysia banyak yang makan selepas jam 8 malam, bagaimana pula yang bekerja? Semua ini kerajaan perlu ambil kira,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

India Gate yang mempunyai dua cawangan, satu di Cyberjaya dan  di Puchong sudah bertapak hampir tiga tahun namun sejak pandemik Covid-19 menular ia memberi kesan kepada perniagaan itu.

Malah kata Saravanan, cabaran terbesar ketika pengumuman PKP buat kali kedua yang mana pelanggan tidak dibenarkan duduk makan sebaliknya hanya membeli secara bungkus sahaja.

“Konsep restoran kami fine dining yang sebelum ini sememangnya mendapat permintaan tinggi sehingga memberi peluang kepada kami buka satu lagi cawangan tetapi kami sangat bergantung dengan pelanggan yang datang makan.

“Tetapi saya cukup faham dengan keadaan pandemik yang sedang berlaku ketika ini, tidak ada apa-apa yang perlu saya mahu pun mana-mana pihak untuk menuding jari. Sememangnya kesihatan dan nyawa sangat pentingnya.

“Tetapi saya ingin meluahkan apa yang kami lalui ketika ini, rata-rata pekerja saya adalah dari India kerana restoran ini bercitarasa India, makanan utara selatan di negara itu.

“Kebanyakan pekerja kami juga dari India namun ketika ini ramai dalam kalangan mereka hendak pulang sahaja ke negara itu kerana saya terpaksa membayar separuh gaji. Saya juga faham penderitaan mereka.

“Jangan cerita tentang keuntungan, kutipan harian itu sendiri tidak capai sasaran apa yang saya belanjakan, jika keadaan ini berterusan bukan sahaja saya sebaliknya rata-rata pemilik restoran seperti kami kena gulung tikar,” ujarnya.

Kata Saravanan lagi, harapannya hanya mahu kerajaan untuk melonggarkan sedikit peraturan dengan melanjutkan had masa dari 8 malam kepada 10 atau 11 malam.

“Besar juga harapan saya seandainya pelanggan dibenarkan duduk makan sudah pasti dengan semua garis panduan yang sudah diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam tangani Covid-19.

“Kasihanilah kami, jika boleh rundinglah dengan semua pihak untuk situasi menang-menang, ramai yang sedang menderita ketika ini,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MGNews : Minta Tolong Sangat-Sangat, Tukarlah Masa Operasi Kedai Makan – Ibrahimshah