Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah mengambil pelbagai tindakan untuk mengawal penularan wabak Covid-19, termasuk memperkenalkan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain PKP, kerajaan juga mengisytiharkan darurat kesihatan di seluruh negara supaya segala pergerakan dapat dihadkan sebagai usaha mengekang penularan wabak itu.

Katanya, walau apapun dilakukan kerajaan dan tindakan diambil, yang penting ialah kerjasama orang ramai dengan mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Beliau berkata, sejak virus Covid-19 dikesan pada 5 Januari tahun lalu sehingga semalam, seramai 158,434 orang telah disahkan positif dan 601 meninggal dunia.

“Bukan hanya di Malaysia, tetapi trend penularan Covid-19 ini terus meningkat di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, India, Brazil, Jerman, Jepun dan Sweden.

“Perkara ini sebenarnya amat membimbangkan dan kerana itulah Malaysia masih mengambil pendekatan tidak membuka pintu sempadan negara,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di sini, hari ini.

Menurut Ismail Sabri, mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), sehingga semalam, dunia merekodkan sebanyak 93.8 juta kes positif dengan 2.026 juta kematian.

Katanya, Amerika Syarikat masih mencatat kes positif tertinggi iaitu 23.5 juta, diikuti India (10.5 juta), Brazil (8.4 juta) dan Jerman (2.04 juta). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast