Dr Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menjalankan siasatan terperinci bagaimana 29 petugas kesihatan dan 28 pesakit di Hospital Serdang, Selangor dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil siasatan itu akan membolehkan pihaknya melakukan penambahbaikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) pengendalian pesakit di hospital.

“Kes jangkitan boleh berlaku dalam kalangan petugas-petugas kesihatan dan juga berlaku antara pesakit dengan petugas dan petugas dengan pesakit.

“Ini sedang berlaku dan siasatan sedang dijalankan dan kita akan lihat bagaimana kita nak tambah baik lagi supaya nak mengelakkan jangkitan dalam kalangan petugas-petugas dan juga pesakit-pesakit,” katanya pada sidang media di KKM, hari ini.

Semalam, KKM mengesahkan sebanyak 29 petugas kesihatan dan 28 pesakit dari Hospital Serdang, Selangor dijangkiti Covid-19 dan kesemua terlibat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan susulan.

Dalam pada itu, sebagai langkah berjaga-jaga, orang ramai tidak digalakkan datang ke hospital bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

“Inilah sebabnya KKM tidak menggalakkan pelawat-pelawat datang ke hospital kerana di hospital ada risiko yang tinggi iaitu jangkitan boleh berlaku.

“Sekarang ini kita melihat banyak hospital bukan Covid-19 pun telah mengambil pesakit-pesakit Covid-19 untuk rawatan

“Kita menasihatkan orang ramai untuk menjauhi hospital, jadi kita tak menggalakkan pelawat-pelawat datang ke hospital,” katanya lagi. – MalaysiaGazette