Pelajar mendakwa bekalan makanan yang disediakan tidak berkualiti malah ada yang basi dan berulat yang disediakan di kafetaria.

KUALA LUMPUR – Para pelajar asrama sebuah institusi pra-universiti milik kerajaan pusat di Banting dekat sini mendakwa mereka tidak mendapat layanan baik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Layanan itu termasuklah bekalan makanan yang disediakan tidak berkualiti malah ada yang basi dan berulat yang disediakan di kafetaria.

Menurut aduan pelajar terbabit, mereka tidak ada pilihan lain kerana tidak dibenarkan keluar membeli makanan lain ekoran PKP sekarang.

“Saya ada gambar, memang sedih sangat. Makanan yang disediakan di kafetaria seperti ala kadar, kadangkala seperti basi tidak masak dengan sempurna malah terjumpa ulat adalah perkara biasa.

“Kami juga tidak ada pilihan, terpaksa juga makan di kafetaria walaupun tidak bersih kerana tidak boleh keluar dari asrama. Itulah menu kami.

“Lebih merunsingkan apabila semua makanan itu harganya melambung naik, kadangkala kami ambil ayam dan kuah sedikit serta nasi boleh cecah sehingga RM6 hingga RM7.

“Kami ini pelajar lagi-lagi di institusi pengajian awam, jadi mengapa harganya seperti tidak masuk akal? Sudahlah kami beli bila nampak ada ulat atau serangga, kami terpaksa buang begitu sahaja dan berlapar,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, pelajar semester kedua itu juga mendakwa antara permasalahan utama di situ juga ialah capaian internet yang teruk dan menyukarkan mereka belajar.

“Sekarang musim PKP Covid-19, kami semua diminta hadir untuk peperiksaan akhir secara bersemuka, kemudian sejurus selepas peperiksaan kelas terus berjalan dalam bilik.

“Namun apa yang kami kesalkan capaian internet yang sungguh teruk, bagaimana untuk belajar secara atas talian jika begini bukan sekali dua tapi hampir semua masa. Bagaimana untuk belajar jauh sekali untuk kami tumpu perhatian?

“Kami diminta untuk kembali ke kampus kerana peperiksaan akhir Januari lepas, tapi sejak itu inilah keadaan kami. Internet tidak pernah stabil, duduk dalam bilik dan belajar tapi apa yang hendak kami fahamkan?” soalnya lagi.

Pelbagai masalah yang timbul dakwanya sudah banyak kali diadukan kepada pihak pengurusan asrama namun tidak ada sebarang tindakan susulan dilakukan.

“Kami tidak tahu apa lagi hendak buat, kami juga hanya berkurung dalam bilik sepanjang masa kerana tidak dibenarkan beriadah itu juga menyebabkan ada antara kami mengalami kemurungan,” ujarnya.

Malah tinjauan MalaysiaGazette juga mendapati masalah yang sama turut berlaku kepada pelajar pra universiti di negeri-negeri lain terutama masalah capaian internet yang lemah.

Rata-rata mereka mendakwa perkara itu menyebabkan kesukaran untuk belajar secara dalam talian dan mencari bahan untuk pengajian.

Justeru ada dalam kalangan mereka cuba menggunakan platform media sosial seperti Twitter untuk meluahkan apa yang dilalui dan berani tag menteri terbabit bagi meluahkan perasaan.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Sabar ya adik2. Jdkan ni kekuatan utk belajar lebih tekun. Tak berbaloi lalui semua kesusahan jika fail final exam.
    Kami pun pernah lalui benda ni.

  2. Wajibkan kakitangan pengurusan sekolah makan di kafeteria. Put them in the students’ shoes. Empathy lebih praktikal daripada sympathy.

Comments are closed.