Abdul Hadi Awang PAS GE14 14th General Election Perikatan Nasional Islam Muslim
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menyokong langkah kerajaan mengisytiharkan darurat politik dalam usaha menangani penularan Covid-19.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pengisytiharan darurat itu merupakan langkah terbaik dalam menangani kemelut politik di negara ini yang dilihat tidak menentu.

Katanya, langkah memutuskan untuk mengisytihar darurat dibuat secara matang apabila dilantik satu jawatankuasa khas untuk memantau keadaan darurat itu.

“Kita kena sedar dalam keadaan begini pun (penularan Covid-19) kita masih berusaha nak cari kerusi ikut jumlah. Sehingga hari ini pun tidak ada yang cukup kerusi nak tubuh kerajaan atau tandatangan senarai tiada, nama tiada Agong tolak.

“Di Parlimen pula usaha nak tolak bajet (belanjawan) pun tak berjaya. Peringkat jawatankuasa tak cukup juga satu demi satu. Dan sehingga hari ini, tak cukup.

“Bila diwar-warkan UMNO akan bekerjasama dengan DAP, ada segelintir dalam UMNO tak boleh terima. Tun (Dr Mahathir) tak boleh terima PKR. Ini jadi masalah. Kita boleh tangani masalah ini, maka langkah mengumumkan darurat adalah perlu diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program bual bicara bertajuk “Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita” anjuran Majlis Profesor Negar (MPN) yang dibuat secara virtual, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, darurat politik merupakan penyelamat kepada permasalahan politik yang berlaku pada masa ini.

Ini kerana, desakan untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) dengan kadar segera oleh pihak-pihak tertentu boleh menyebabkan situasi pandemik Covid-19 di negara ini akan menjadi bertambah parah.

Bagaimanapun, dalam hal tersebut pihak kerajaan perlu menggunakan kebijaksanaan bagi memastikan darurat dapat diurus dengan cara yang baik.

Dalam pada itu Hadi berpendapat, dengan pengisytiharan darurat politik sedikit sebanyak boleh mengelakkan negara daripada menjadi tumpuan tempat persinggahan pendatang asing untuk mencari perlindungan.

Ini kerana katanya, jika Malaysia berjaya mengharungi wabak tersebut dengan berkesan ia sudah pasti menarik perhatian pendatang daripada negara jiran seperti Indonesia, Myanmar dan Filipina untuk datang secara haram ke negara ini kerana merasa selamat sedangkan negara mereka masih lagi berada dalam keadaan yang sukar akibat wabak tersebut. – MalaysiaGazette