Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa bercakap pada sidang media Persatuan NGO Pendidikan Ummah selepas memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, Putrajaya. foto AFIQ RAZALI, 11 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencabar langkah pengisytiharan darurat di mahkamah.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan Presiden PKR itu mencabar keabsahan Proklamasi Darurat satu tindakan yang cuba mencabar kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Tindakan Anwar juga memperlihatkan beliau seorang yang sangat gila kuasa dan berpolitik tanpa batasan sehingga sangup memperjudikan nasib hidup rakyat dan keselamatan negara.

“Sepatutnya beliau perlu bersama sama kerajaan bagi memupuk semangat patriotik rakyat dan menyeru kepada memperkasa perpaduan negara bagi menghadapai cabaran besar yang dihadapi oleh negara sebagaimana yang dititah nasihatkan oleh YDPA semasa pembukaan parlimen terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Ahad lalu, Anwar mendakwa, proklamasi darurat itu sebagai langkah terdesak dan melulu tanpa sebarang asas kukuh, sehingga melebarkan jurang antara rakyat dan kerajaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga berkata, kerajaan seharusnya meningkatkan kesedaran berkaitan wabak Covid-19 yang berasaskan sains dan menggalakkan perbincangan umum serta menolak sebarang teori konspirasi.

Dalam pada itu, Mohd Zai berkata, UMMAH yang terdiri daripada lebih 500 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersedia untuk berdepan Anwar di mahkamah.

“UMMAH telah bersedia dengan pasukan peguam untuk berhadapan mencabar saman yang akan dikemukakan oleh pasukan peguam Anwar bagi mempertahankan kuasa yang YDPA sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

Pada Selasa lalu, YDPA memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat dilaksana di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung pandemik Covid-19.

Tempoh pelaksanaan darurat itu adalah sehingga 1 Ogos ini atau suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan. – MalaysiaGazette