China mengenakan perintah berkurung ke atas hampir tiga juta rakyatnya susulan peningkatan kes wabak Covid-19.- Gambar hiasan.

BEIJING – China mengenakan perintah berkurung ke atas hampir tiga juta rakyatnya susulan peningkatan kes wabak Covid-19.

Wilayah Timur Laut Jilin dikenakan perintah itu kerana China melaporkan terdapat 109 jangkitan baharu dipercayai berpunca daripada seorang jurujual tanpa gejala.

Jurujual berkenaan yang kini sedang dikuarantin telah melakukan perjalanan ke dua bandar berbeza bagi memberi taklimat penjagaan kesihatan kepada penduduk warga emas.

Siasatan sedang dilakukan ke atas pusat penjagaan kesihatan jurujual yang menganjurkan bengkel berkenaan, bagi menentukan sama ada mereka menjalankan perniagaan haram.

Sebuah akhbar kerajaan, The People’s Daily pada Isnin menyifatkan bengkel terbabit telah mempertaruhkan nyawa demi mendapatkan wang dengan alasan kononnya mengambil berat akan kesihatan warga emas.

Pada masa sama, lebih daripada 19 juta orang di seluruh Timur Laut China dilarang meninggalkan kediaman mereka dan hanya dibenarkan berbuat demikian dalam tempoh tiga hari sekali untuk membeli barang keperluan.

Selain itu, sekatan turut dilakukan di kawasan lain di Timur Laut Chian termasuk satu daerah di Harbin, kini mengadakan festival arca ais, yang menjadi tumpuan pelancong.

Malah, pihak berkuasa tempatan turut mengenakan sekatan di dua bandar di wilayah Hebei di luar Beijing, yang menyumbang sebahagian besar kes Covid-19 dalam beberapa minggu terakhir, selain 12.5 juta penduduk diarahkan untuk tidak keluar daripada rumah masing-masing.

Lebih 20,000 penduduk kampung di daerah itu telah ditahan di pusat kuarantin, lapor media negeri minggu lalu. – MalaysiaGazette