Pasukan Bomba Kuala Lipis melakukan kerja-kerja sanitasi di MRSM Lipis.

KUALA LUMPUR – Semua calon Sijil Peperiksaan Malaysia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Lipis, Pahang dikuarantin selepas empat pelajar disahkan positif Covid-19.

Sebanyak 142 pelajar perempuan ditempatkan di Institut Latihan Perumahan dan Kerajaan Tempatan (I-KPKT) Bukit Tinggi manakala dua pelajar lelaki dikuarantin di asrama.

Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd Zairasyahli Shah Zakaria berkata, penempatan ke I-KPKT dibuat untuk keselamatan para pelajar berikutan penemuan kes positif Covid-19.

”Ia juga melihat situasi yang mana daripada 20 orang yang bergejala (bilangannya) meningkat kepada 30 orang dalam tempoh 10 hari.

“Setakat pagi ini, terdapat tiga lagi pelajar yang dikuarantin di I-KPKT positif Covid-19 dan dihantar ke hospital,” katanya seperti dipetik dari Awani.

Menurut Mohd Zairasyahli, pemindahan pelajar perempuan ke I-KPKT dilakukan selepas perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Para pelajar menaiki bas ke I-KPKT dan mereka diiringi anggota polis bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa diberi keutamaan.

Tiga guru juga ditugaskan menjaga kebajikan pelajar sepanjang ditempatkan di pusat kuarantin. – MalaysiaGazette