Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Enam ketidakpatuhan dikesan berkaitan syarat kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dilakukan oleh syarikat pembangunan projek kuari di kawasan Air Terjun Tanjung Batu, Segari.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketidakpatuhan itu dikesan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) membabitkan kerja-kerja tanah yang dijalankan tanpa mengikut pelan Land Disturbing-Pollution Prevention and Mitigation Measures (LD-P2M2).

“JAS Perak telah menjalankan siasatan ke Hutan Simpan Segari Melintang, Manjung pada 18 dan 19 Januari. Kemusnahan alam sekitar berpunca daripada tapak projek kuari granit,” katanya menerusi Twitter.

Menurutnya, JAS Perak sedang melengkapkan kertas siasatan dan memanggil pihak-pihak yang berkaitan.

JAS Perak juga telah memasang tali halangan, dan mengeluarkan arahan dan notis di lapangan untuk tindakan remedi.

Selasa yang lalu, JAS Perak mengesahkan memang berlaku pelanggaran syarat EIA apabila syarikat terlibat tidak menyediakan sistem kawalan sewajarnya.

Pelaksanaan projek kuari di situ dikatakan tidak mematuhi dan  memenuhi komitmen dibuat pemaju seperti termaktub dalam syarat kelulusan EIA yang dikeluarkan pada 2017 lalu.

Menteri Besar Perak semalam mengarahkan semua aktiviti kuari di kawasan Hutan Simpan Segari Melintang dihentikan. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Bukan dihentikan, tapi dibatalkan dan didenda termasuk pampasan kepada kerajaan atas kerosakan yg dibuat. Disenarai hitamkan dari urusan masa depan…ada berani tn hj ?… orang ramai disitu leh saman jgak..

Comments are closed.