Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar menutup premisnya selepas selesai membersihkan alat senaman berikutan pusat gimnasium tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

SERI KEMBANGAN – Sebanyak 80 pusat gimnasium yang beroperasi di lot kedai ‘gulung tikar’ sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula Mac tahun lalu walaupun dibenar kembali operasi tiga bulan kemudian hingga akhir tahun lalu.

Salah seorang pengusaha pusat gimnasium, Krishna Kumar berkata, faktor utama golongan itu tidak dapat bertahan kerana tidak lagi berkemampuan untuk membayar sewa lot kedai dan gaji kakitangan.

Beliau yang juga pemilik Enrich Fitness berkata, keadaan itu diburukkan lagi dengan pelaksanaan PKP 2.0 yang menyebabkan ramai akan menjadi bankrap tidak lama lagi.

“Hampir 80 pusat gimnasium seluruh Malaysia sudah tutup tetapi bukan yang terkenal atau bertaraf lima bintang namun di rumah kedai.

“Ini kerana mereka tidak mampu membayar sewa lot kedai kerana memang tidak ada sumber lain. Bila gimnasium ditutup tutup pada PKP tahun lalu, mereka tidak ada pendapatan langsung.

“Hendak buat jualan atas talian pun tidak boleh kerana hanya peralatan gimnasium sahaja dan 100 peratus bergantung dengan pendapatan gimnasium,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semalam.

Temubual bersama Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

Kumar menambah, pengusaha pusat gimnasium kini tidak mempunya pilihan dan menaruh harapan tinggi agar kerajaan dapat membenarkan mereka beroperasi semula selepas ditutup sejak 13 Januari lalu.

Jelas beliau, pihaknya sedia mematuhi standard operasi prosuder (SOP) yang lebih ketat jika dibenarkan dibuka pada PKP 2.0 ini.

“Sebelum ini pun memang kami ikut SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) malah kami ada tambahan insiatif sendiri dengan mewajibkan pelanggan membawa dua helai tuala kecil, hadkan kehadiran pelanggan yang datang, membersih peralatan dua jam sekali dan membuat jadual temujanji untuk pelanggan.

“Jadi saya mewakili pengusaha gimnasium berharap sangat agar dapat dibuka semula kerana kami rasa tidak puas hati dan tidak adil.

“PKP yang lepas bagus walaupun tiga bulan kami tidak boleh beroperasi dan patuh semua SOP serta menanggung kesusahan,” katanya.

Pekerja mengambil peluang membersihkan alat senaman berikutan pusat gimnasium tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

Kumar yang juga Presiden Bina Badan Kuala Lumpur menambah, PKP 2.0 ketika ini dilihat tidak adil dan tidak seperti PKP tahun lalu apabila sektor pembinaan, kedai dan warung banyak yang beroperasi.

Katanya, apa salah pusat gimnasium yang tidak dibenarkan dibuka kepada orang ramai sedangkan gimnasium tidak pernah memiliki kluster Covid-19.

“Namun sektor yang ada kluster sebelum ini dibenarkan buka. Kenapa kerajaan tidak beri tumpuan atau menjaga kebajikan pengusaha gimanasium.

“Sebagai pemilik gimnasium, saya mengharap KBS (Kementerian Belia dan Sukan) membantu kami kerana atlit dan belia asal datang dari gimnasium. Apa-apa sukan datang dari gimnasium dan asas untuk mereka.

“Kami sanggup beroperasi dengan SOP lebih ketat memandangkan pendapatan sekarang jatuh lebih 50 peratus sejak PKP tahun lalu.

“Sebelum ini kami boleh mendapat 100 pelanggan namun selepas PKP kurang dalam 40 peratus namun masih mampu bertahan untuk membayar sewa lot kedai dan gaji pekerja. Kalau PKP 2.0 ini akan ramai lagi yang gulung tikar,” katanya.

Selari dengan pelaksanaan PKP yang lebih tegas mulai 13 Januari lalu, kerajaan tidak membenarkan semua aktiviti sukan berkumpulan dan pusat gimnasium tidak dibenarkan operasi. – MalaysiaGazette