Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo menunjukkan hasil rampasan dadah pada sidang media berkaitan dengan rampasan dadah bernilai RM 11,004.500 di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 20 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bernilai RM11 juta yang menjadikan Malaysia sebagai transit akhirnya tumpas dengan tertangkapnya enam suspek.

Sindiket itu dipercayai menyeludup dadah dari negara jiran sebelum mengeksport ke luar negara menggunakan perairan  negara aktif sejak Oktober lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Deputi Komisioner, Datuk Yong Lei Choo berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kuala Lumpur menangkap suspek berkenaan menerusi enam serbuan di Lembah Kelang serta di utara dan selatan negara bermula jam 3.10 petang pada Jumaat 15 Januari lalu.

Sebahagian daripada rampasan dadah bernilai RM 11,004, 00 pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 20 JANUARI 2021.

Hasil serbuan itu, pasukan polis berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia 29 hingga 58 tahun.

“Hasil pemeriksaan pasukan polis JSJ berjaya menemui dadah jenis Ketamin seberat 100.92 kilogram dan ‘base’ heroin seberat 59.995 kilogram yang kesemuanya bernilai RM11.04 juta di dalam sebuah kenderaan milik suspek di sebuah kawasan tempat letak kereta di ibu negara.

“Turut dirampas enam kenderaan pelbagai jenis, 21 barang kemas, dua jam tangan berjenama dan wang tunai berjumlah RM423,829 menjadikan jumlah keseluruhan sitaan RM937,329,” katanya pada sidang media kejayaan itu bertempat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Lei Choo menambah, iasatan polis narkotik juga mendapati pergerakan pengedaran dadah sindiket berkenaan bermula dari selatan menuju ke utara Semenanjung tanahair untuk dihantar atau dieksport ke luar negara melalui jalan laut.

Ujar beliau, menerusi serbuan sama polis menjumpai sebuah rumah yang disewa sindiket berkenaan yang dijadikan stor transit penyimpanan bekalan dadah berkenaan.

Rampasan wang tunai daripada suspek sindiket pengedaran dadah pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ HAMBALI, 20 JANUARI 2021.

“Hasil semakan lanjut rekod lampau juga mendedahkan empat daripada enam suspek berkenaan mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah iaitu antaranya di bawah Seksyen 39b, 39a(2), 12(2), 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 4(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1957.

“Polis juga berjaya menyita pelbagai aset seperti enam kenderaan pelbagai jenis bernilai RM425,000, 21 jenis barang kemas dan dua utas jam tangan berjenama mewah Rolex bernilai RM88,500 dan wang tunai RM423,829.

“Manakala hasil ujian saringan awal air kencing juga mendapati dua daripada mereka didapati positif dadah jenis methaphetamin serta ganja,” ujar beliau.

Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 22 Januari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mereka turut disiasat di bawah Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dalam kes ini.

“Kami masih mengesan saki baki suspek yang disyaki terlibat dalam sindiket ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di talian 012-2087222 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – MalaysiaGazette