Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan  di hadapan sebuah stesen minyak di Batu 9 Cheras, Kajang semalam.

Kejadian pukul 4.50 pagi itu dilaporkan oleh orang awam, kata Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan.

“Kereta peronda telah digerakkan ke lokasi kejadian selepas menerima aduan. Polis menemui seorang lelaki dalam keadaan cedera sebelum ambulan telah membawa mangsa ke hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Zaid, semakan kamera litar tertutup menunjukkan kejadian di mana mangsa telah dicederakan oleh beberapa orang lelaki identitinya tidak pasti.

Ujar beliau, punca kejadian masih lagi dalam siasatan pihak dan mangsa kini sedang dirawat di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Bertindak atas maklumat, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah IPD Kajang telah menahan enam orang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan kes ini.

“Kes telah disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini, boleh berhubung dengan mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Azrul Nizam Zainal Abidin di talian 016-9985730.- MalaysiaGazette