palm oil benefits

KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) mengunjur pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat lebih kurang tiga peratus kepada 19.70 juta tan metrik pada 2021 berbanding 19.14 juta tan metrik pada 2020.

Menterinya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini berikutan jangkaan pengembangan kawasan tanaman sawit matang serta kesan cuaca kering yang mempengaruhi pengeluaran buah tandan segar dan seterusnya pengeluaran MSM.

“Dengan pemulihan perdagangan dunia, pertumbuhan eksport diramal terus memberangsangkan, justeru sektor perladangan dan komoditi akan memanfaatkan kebenaran beroperasi bagi sektor perladangan dan komoditi oleh Kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) dan tempoh darurat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khairuddin berkat, sektor agrikomoditi menyumbang melalui pendapatan eksportnya sebanyak RM133.2 bilion atau 15.1 peratus daripada keseluruhan pendapatan eksport negara sehingga November 2020.

Nilai ini meningkat sebanyak 13.6 peratus berbanding RM117.2 bilion yang direkodkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Produk berasaskan sawit merupakan penyumbang terbesar iaitu sebanyak 48.6 peratus daripada jumlah eksport barangan agrikomoditi, mencatatkan peningkatan 4.8 peratus kepada RM64.8 bilion.- MalaysiaGazette