ACP Arifai Tarawe

KUALA LUMPUR – Tiga lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan dicekup kerana terlibat melakukan kecurian di sebuah kedai serbaneka di Jalan Dataran Selayang, Batu Caves, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, polis telah menerima panggilan daripada orang awam pada jam lebih kurang 4.30 petang Ahad lalu yang memaklumkan sebuah kedai serbaneka dalam keadaan terbuka.

Bertindak atas makluman orang ramai, pada 17 Januari lalu, kira-kira jam 1.30 pagi, sepasukan polis dari Selayang telah berjaya menahan seorang lelaki warga asing di Jalan Besar Selayang Indah kerana disyaki terlibat dalam kes tersebut.

Susulan penahanan itu, polis berjaya merampas sejumlah wang tunai berjumlah RM1800.00 yang disyaki hasil dari jualan rokok curi dari kedai serbaneka berkenaan.

Hasil soal siasat ke atas suspek, polis telah pergi ke sebuah rumah di Taman Desa Padu, Batu Caves dan berjaya menangkap dua lagi lelaki warga asing yang turut terlibat dalam kes jenayah tersebut.

Seterusnya pihak polis telah pergi ke sebuah rumah di Taman Segambut untuk menangkap seorang lelaki tempatan dan merampas sejumlah karton rokok yang dipercayai dicuri dari kedai berkenaan, katanya dalam kenyataan di sini.

Peniaga mendakwa beberapa barang termasuk kamera litar tertutup (CCTV) dan dekoder, sebuah telefon bimbit dan pelbagai jenis rokok miliknya hilang serta mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM10,000.

Kes sedang disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Kesemua suspek yang berusia antara 23 dan 26 tahun itu kini direman selama enam hari sehingga 23 Januari ini untuk membantu polis melangkapkan sisatan kes. -MalaysiaGazette