Kemalangan membabitkan lori treler dan sebuah kereta di Jalan Tampin-Gemas, berhampiran simpang kilang Gedok Mas, Tampin.

TAMPIN – Sepasang suami isteri maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan sebuah kereta di Jalan Tampin-Gemas, berhampiran simpang kilang Gedok Mas, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tampin Supt Anuwal Ab Wahab berkata dalam kejadian pada 8.50 malam itu, Mohamad Ismail, 70, dan isteri Halijah Hamat, 62, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan oleh pegawai perubatan.

“Kemalangan berlaku apabila  Proton Iswara dipandu dan dinaiki kedua-dua mangsa dari arah Tampin ke Gemas telah melanggar bahagian tayar belakang sebelah kanan lori treler yang dipandu seorang lelaki berusia 56 tahun yang sedang keluar dari simpang jalan kilang Gedok Mas menuju ke arah jalan Tampin untuk bekerja,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pemandu lori treler berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dan mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh Penguasa Kanan Bomba II Mohd Fauzi Shamir berkata seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam

— BERNAMA