gambar file
Gambar hiasan

BARU-baru ini kita dikejutkan dengan kes bunuh diri seorang pelajar wanita dari sebuah
universiti swasta yang maut selepas dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat 18 sebuah pangsapuri di Bukit Beruang, Melaka. Amat menyedihkan kerana perkara seumpama ini mampu dielakkan sekiranya ditangani dengan lebih awal. Salah satu faktor kes sebegini berlaku adalah kerana psikososial yang tidak stabil.

Psikososial adalah perkara yang mempengaruhi faktor sosial seseorang individu dari sudut
pemikirannya dan perlakuannya. Antara contoh perkara yang mempengaruhi psikososial
seseorang ialah sokongan sosial, status sosial, gangguan sosial, status perkahwinan, tahap kesunyian, persekitaran pekerjaan, dan pelbagai lagi. Perkara ini tidak terkecuali melibatkan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Apabila kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan di pertengahan Mac 2019 bagi memastikan kesihatan rakyat negara ini terjamin, pelajar IPT yang selama ini melakukan aktiviti bersama rakan-rakan termasuk perbincangan, menyiapkan tuagasan mahupun beriadah kini berada di rumah. Persekitaran di rumah juga amat berlainan dan tidak seperti kebebasan yang dikecapi sewaktu di institusi pengajian.

Perubahan sosial ini memberi impak kepada pelajar IPT ditambah pula apabila mereka perlu memulakan satu norma baharu iaitu menghadapi pembelajaran secara dalam talian, ujian dan peperiksaan secara maya, perbincangan tugasan tanpa bersemuka dengan rakan sekelas dan menghantar tugasan dalam bentuk salinan digital telah memberi kesan lebih mendalam kepada pelajar IPT dan telah mempengaruhi psikososial mereka.

Beberapa kesan negatif masalah psikososial juga telah dilaporkan di dada akhbar sejak
kebelakangan ini yang membabitkan pelajar IPT termasuklah cubaan bunuh diri,
kemurungan, tekanan perasaan dan pelbagai lagi impak negatif terhasil akibat masalah
psikososial yang tidak dibendung. Oleh itu, pihak pensyarah dan penasihat akademik perlu sentiasa berjaga-jaga dengan perubahan sikap yang ditunjukkan oleh pelajar IPT sepanjang kelas berlangsung.

Walaupun sukar untuk mengesan perubahan apabila berhadapan pelajar IPT secara dalam
talian, pensyarah boleh mengambil inisiatif untuk bertanya khabar dan sesi perkongsian
sebagai transisi kelas dalam talian. Sesi bertanya khabar dan perkongsian semasa kelas bolehdianggap satu langkah yang baik kerana pada masa itu ruang masa pelajar IPT telah
dikhaskan untuk kelas dan perbincangan di luar topik dapat memberi kesegaran dan rehat
sebentar kepada minda pelajar IPT.

Bagi institusi pengajian yang mempunyai penasihat akademik semestinya telah diberikan
masa-masa tertentu bagi bersama pelajar IPT untuk menjalankan aktiviti secara dalam talian. Antara pilihan aktiviti yang boleh dilakukan adalah sesi bertanya khabar dan perkongsian masalah yang dialami oleh pelajar IPT.

Perkongsian masalah pelajar IPT harus diambil serius oleh pensyarah dan penasihat
akademik supaya langkah seterusnya boleh diambil untuk membantu pelajar IPT
menyelesaikan masalah mereka. Keadaan persekitaran yang banyak menyumbang kepada psikososial pelajar IPT harus diberi perhatian bukan sahaja kepada pensyarah dan penasihat akademik untuk membimbing malah membantu mewujudkan sifat empati dalam kalangan rakan sebaya.

Melalui perkongsian masalah yang dilakukan, secara tidak langsung pelajar IPT dapat
melepaskan segala isi yang terbuku di dalam diri mereka dan membolehkan mereka terus
fokus terhadap pengajian. Kejayaan yang mereka kecapi sekarang adalah kunci kepada
kejayaan di alam pekerjaan mereka nanti.

Mohamad Izzuan Bin Mohd Ishar, (Ph.D)
Pensyarah Kanan,
Jabatan Pendidikan Teknikal dan Kejuruteraan,
Sekolah Pendidikan,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Teknologi Malaysia.