Jalan Gasing Indah dibuka secara terhad, bersyarat dan berjadual kepada guru dan pelajar sekolah SPM mulai hari ini

PETALING JAYA – Polis Petaling Jaya telah membuka satu lagi jalan untuk memudahkan pergerakan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan guru tingkatan lima

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tindakan tersebut diambil berikutan pembukaan sesi persekolahan untuk pelajar tingkatan lima kelmarin.

“Polis akan membuka satu lagi jalan tutup roadblock iaitu di Jalan 5/46 Gasing Indah, Petaling Jaya secara berjadual, bersyarat dan terhad.

“Kelepasan terhad jalan tutup ini dijadualkan seperti ketetapan iaitu hanya dibuka Isnin hingga Jumaat setiap minggu.

“Untuk sesi pagi jalan ini dibuka antara 6.30 pagi hingga 7.30 petang manakala untuk sesi petang akan dibuka antara 2.30 petang hingga 3.30 petang untuk pelajar dan guru yang terlibat sahaja,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, kelepasan terhad ini hanya dibenarkan kepada penjaga (hanya seorang) bersama pelajar yang beruniform menggunakan kenderaan persendirian.

Justeru guru juga dibenarkan menggunakan jalan itu dengan syarat pas guru dibawa bersama semasa ke sekolah.

“Selain itu bas atau van sekolah membawa pelajar beruniform dibenarkan dengan syarat perlu memastikan dibawa bersama surat kebenaran dari sekolah yang terlibat.

“Polis memberi amaran keras kepada orang awam yang tidak layak agar tidak mengambil kesempatan untuk melepasi laluan ini dan jika ingkar tindakan undang-undang akan diambil di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan iaitu boleh dipenjara enam bulan atau denda maksimum RM2000 atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan.

“Pegawai dan anggota akan memeriksa pergerakan setiap kenderaan yang melalui kawasan tersebut,” ujarnya. -MalaysiaGazette