KUALA LUMPUR – Pelanggan-pelanggan terbesar Sime Darby Plantation Bhd  (SDP) tidak mengambil keputusan menyeluruh menyekat pembelian minyak sawit dan produk minyak sawit daripada syarikat itu susulan sekatan Amerika Syarikat berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluarannya.

Walaupun tidak mendedahkan pelanggan-pelanggan terbesarnya Pengarah Urusan Sime Darby Oils Sdn Bhd Mohd Haris Mohd Arshad berkata, mereka telah memberikan masa yang mencukupi kepada syarikat tersebut untuk menyelesaikan masalah itu dengan syarat mereka sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangannya.

“Mereka tidak membuat keputusan menyeluruh melarang produk oleh SDP, bagi saya, ia satu kelegaan yang besar,” katanya dalam satu program di stesen radio tempatan, BFM, pagi ini.

Sime Darby Oils adalah cabang perniagaan hiliran SDP.

Syarikat gergasi perladangan Malaysia itu dikenakan sekatan import oleh Agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan Amerika Syarikat (CBP), berkuat kuasa 30 Dis,2020, selepas perintah sekatan dikeluarkan ke atas minyak sawit dan produk minyak sawitnya berikutan dakwaan buruh paksa yang dibuat oleh kumpulan anti pemerdagangan manusia Liberty Shared (LS) yang berpangkalan di Hong Kong, pada April tahun lepas.

Mohd Haris berkata, SDP berusaha keras untuk menangani isu itu dengan terus mengadakan perbincangan bersama CBP dan LS, walaupun tiada perkembangan disediakan oleh CBP mengenai dapatan siasatan oleh LS itu.

“Malangnya, tiada (perkembangan terkini mengenai dapatan tersebut)  tetapi kami sentiasa berbincang dengan mereka dan kami telah melantik sebuah firma guaman untuk membantu kami berhubung dengan CBP di Washington,” katanya.

Beliau berkata dakwaan oleh LS itu masih sukar difahami SDP.

“Kami tidak tahu apa tuduhannya. Kami menghubungi LS dan penyiasat di sini di Malaysia, tetapi tiada apa yang khusus dimaklumkan,” katanya.

Beliau menegaskan SDP mengambil berat berhubung isu itu kerana ia adalah satu tuduhan yang serius yang menyentuh pelanggaran hak asasi manusia.

”Jika pelanggaran itu berlaku dalam SDP, kami akan mengambil tindakan kerana mereka yang dianiaya itu berdepan risiko,” katanya sambil menambah beliau mahu memastikan isu itu tidak menjejaskan reputasi syarikat tersebut di mata dunia.

“Jika kami tidak menangani isu ini, ia mungkin membawa kepada masalah perindustrian yang lebih besar dan kami tidak mahu mengambil risiko itu,” tambahnya. – MalaysiaGazette