Danish Haziq

KUALA LUMPUR – Pemain pertahanan, Danish Haziq Saipul Hisham yang bakal beraksi dengan Perak pada musim ini memberikan penghargaan kepada ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt yang menjadi watak penting buat dirinya untuk mengembangkan karier di peringkat lebih baik.

Jelas pemain berusia 24 tahun ini, Bernhardt memberikan peluang dan ruang baginya untuk kembali mendapatkan lebih minit permainan selepas melalui tempoh yang tidak menentu di Negeri Sembilan sepanjang empat musim di sana.

Dia mengakui keputusan untuk berhijrah ke UiTM FC pada musim lalu di Liga Super telah membuka lembaran baharu dalam karier sehingga Perak berminat mendapatkan khidmatnya pada musim ini.

“Penghijrahan ke UiTM FC menjadi titik tolak perubahan kepada karier saya, kalau masih di Negeri Sembilan mungkin saya belum capai tahap ini dan ini mungkin rezeki pada musim lalu apabila aksi saya dapat memikat pasukan lain.

“Saya mahu ucapkan terima kasih kerana Bernhardt kerana sudi beri peluang untuk bersama pasukan kerana pada awalnya pengurusan UiTM mahukan pelajar sahaja di dalam pasukan.

“Namun, Bernhardt mahukan saya dan apabila masuk, saya diberi peluang untuk sambung belajar oleh pengurusan dan dia bagi peluang untuk saya bermain, daripada situ saya telah buktikan apa kebolehan saya.

“Walaupun bersaing secara sihat dengan ketua pasukan, Faizal (Arif) pada waktu itu, Bernhardt mampu berikan peluang yang sama rata antara kami berdua untuk bermain malah dia cukup faham antara saya dan Faizal,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia di sini,

Danish yang boleh bermain di semua posisi di bahagian pertahanan pernah menjadi ketua pasukan Bawah 19 tahun ketika di bawah kendalian Bernhardt.

Selain Danish, Muhd Arif Mohamed Anwarjuga antara pemain yang kembali digilap Bernahrdt di UiTM FC sebelum menyaksikan bekas pemain Kuala Lumpur itu berhijrah ke Terengganu FC pada musim ini.

Mengenai Perak, Danish jujur berasakan peluang sebegini tidak akan selalu hadir selepas apa yang telah dia lalui sepanjang di awal pembabitan karier dan bersedia mahu mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama.

“Terus terang, saya tidak pernah berasa putus asa sepanjang bermain walaupun ada masanya pernah cedera begitu lama dan tidak mendapat peluang bermain sebelum ini kerana saya sentiasa bersemangat serta jadikan rakan-rakan yang berjaya di peringkat tertinggi sebagai inspirasi.

“Di Perak, harap jurulatih tahu apa kelebihan saya dan seterusnya diberi kepercayaan tetapi perkara ini tidak boleh sekadar cakap sahaja, saya kena buktikan serta tunjukkan apa yang saya ada.

“Apa yang pasti, saya kena bersaing hebat dengan Amirul Azhan bagi merebut tempat di bahagian pertahanan kanan. Laluan sudah ada depan di mata saya, jadi sekarang saya kena ambil peluang ini sebaik mungkin,” katanya. – MalaysiaGazette