Dzulhilmi Zainol

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK), berharap tidak ada sebarang campur tangan politik berhubung penahanan seorang ahli biro Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada),  yang disyaki mengedar dadah yang diproses sendiri di rumahnya.

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan Selangor (AMK), Dzulhilmi  Zainol berkata, ada baiknya jika kerajaan yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan tidak campur tangan dalam kes tersebut.

“Umum mengetahui semalam salah seorang ahli sebuah biro dalam Pemuda Bersatu (Armada) telah ditangkap dan ditahan pihak polis atas dakwaan memiliki dadah jenis ganja dalam kuantiti atau jumlah yang agak besar.

“Kesemua dakwaan tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan bersalah.

“Sebelum ini, salah seorang daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor (ADUN) daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam pengambilan dadah atau bahan terlarang.

“Ini yang disebut sebagai kepimpinan melalui tauladan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin mendedahkan suspek yang juga seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun ditahan polis dalam satu serbuan di Fraser Business Park, Pudu di sini Rabu lalu.

Hasil pemeriksaan, polis merampas 40 botol mengandungi 400 milimeter (ML) cecair dadah beserta wang tunai RM250 serta sebuah motosikal.

Turut dirampas 1,500 gram ganja, cecair ganja (3,000 ML), cecair kimia, ganja, tempat siram pokok ganja serta sebuah kereta BMW disyaki milik suspek berkenaan.

Hasil soal siasat polis ke atas suspek mengaku terbabit dalam kegiatan itu sejak Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut Dzulhilmi  Zainol, melihat kepada rekod kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpinan Muhyiddin ia amat membimbangkan.

Beliau memberi contoh beberapa kes, antaranya bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dilepaskan dan dibebaskan daripada semua 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kontrak konsesi balak di Sabah satu kes berprofil tinggi melibatkan salah seorang ahli keluarga VIP politik, Riza Aziz.

Jelas Dzulhilmi, rakyat hendak melihat kepimpinan yang ada kini dalam menangani kes seumpama itu.

“Saya menyeru dan berharap supaya tiada sebarang campur tangan politik dalam kes memandangkan beliau merupakan salah seorang ahli parti daripada blok kerajaan dan juga pernah diberi watikah sebagai calon Pilihanraya Umum yang ke 14,” ujarnya. – MalaysiaGazette