WASHINGTON DC – Seramai 150 hingga 200 anggota National Guard yang dikerah ke Washington DC untuk mengawal keselamatan Presiden Joe Biden semasa upacara angkat sumpat dikesan positif Covid-19, kata seorang pegawai Amerika Syarikat (AS).
Kerajaan AS melaksanakan langkah-langkah keselamatan di bandar raya itu berikutan serangan maut di Capitol pada 6 Januari lalu yang dilakukan penyokong bekas Presiden, Donald Trump, termasuk menggunakan kawad berduri dan mendirikan pos pemeriksaan yang dikawal anggota National Guard.
Pegawai yang tidak mahu dikenali itu berkata, bilangan anggota National Guard yang diuji positif mungkin meningkat tetapi bilangannya kecil memandangkan lebih 25,000 anggota tentera dikerahkan ke bandar itu dalam masa beberapa hari lalu, lapor Reuters.
AS melaporkan lebih 4,000 kes kematian sehari akibat Covid-19 untuk dua hari berturut-turut bermula Khamis lalu, menurut analisis data kesihatan awam Reuters, yang menjadikan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 410,000 nyawa.
Menurut kenyataan National Guard, ia tidak akan membincangkan kes koronavirus tetapi anggotanya mengikuti garis panduan Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Pusat, termasuk memeriksa suhu badan apabila seseorang anggota meninggalkan kediaman mereka dan tiba di bandar raya itu.
Katanya, perancangan telah dilakukan untuk beribu-ribu tentera pulang dan kira-kira 15,000 orang dijangka meninggalkan Washington dalam tempoh antara lima hingga 10 hari. – MalaysiaGazette
















