Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyegerakan pemberian komputer riba kepada seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian yang diisytiharkan dalam pembentangan Bajet 2021 sebelum ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini bagi memudahkan proses Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) berjalan dengan lancar.

Beliau berkata pada masa sama, nasib lebih 4.7 juta murid lain di 10,220 sekolah rendah dan menengah yang berkemungkinan tidak memiliki sebarang peralatan yang bersesuaian untuk PdPR seperti telefon pintar atau komputer riba juga perlu diberikan perhatian serius.

“Jumlah ini bersamaan tiga peratus daripada anggaran 4.7 juta murid daripada keseluruhan 10,220 buah sekolah rendah dan sekolah menengah yang bakal menerima komputer riba hasil kerjasama Kerajaan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Asyraf Wajdi berkata, Kementerian Pendidikan perlu lebih proaktif dan segera menangani pelbagai isu dan kekangan pembelajaran agar tidak berlaku sebarang fenomena keciciran daripada arus pendidikan di kalangan rakyat dalam suasana pandemik yang sudahpun masuk tahun kedua ini.

Selain itu Asyraf Wajdi berkata, Pergerakan Pemuda UMNO turut mencadangkan perluasan siaran TV Pendidikan dengan menukar beberapa saluran TV Milik Kerajaan kepada TV Pendidikan sepenuhnya sepanjang sekolah ditutup akibat pandemik sebagai penyelesaian langkah jangka masa pendek.

Kerajaan ujarnya harus memanfaatkan kuasa penuh di bawah Ordinan Darurat ketika ini mendesak syarikat-syarikat konglomerat menyumbang komputer riba kepada murid-murid sekolah dan mengarahkan stesyen TV swasta berbayar seperti ASTRO bagi menyediakan saluran pendidikan dengan pemantauan Kementerian Pendidikan.

Untuk rekod, sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kaedah pendidikan negara telah berubah sepenuhnya.

Sifat pandemik Covid-19 yang cepat merebak keseluruh masyarakat memaksa murid-murid dan guru-guru ‘berkurung’ di rumah masing-masing.

Kini sesi persekolahan bersemuka hanya dilaksanakan kepada murid yang bakal menjalanin peperiksaan awam manakala selebihnya menjalani PdPR di rumah.

Ekoran itu, pelbagai isu berbangkit yang berkaitan dengan pembelajaran atas talian termasuklah kekangan perolehan peranti di kalangan ibu bapa atas faktor ketidakmampuan selain masalah capaian internet.-MalaysiaGazette