Gelagat sebahagian pesakit Covid-19 ketika dikunjungi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19, Hospital Integrasi MAEPS, Serdang. Foto IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 19 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar mempertimbangkan menggunakan mana-mana premis Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kini kosong dan tidak digunakan langsung sebagai fasiliti menempatkan pesakit Covid-19.

Jelas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mustafa Abdul Hamid usaha ini boleh membantu merawat lambakan pesakit Covid-19 semenjak kebelakangan ini.

“Sekiranya fasiliti ini digunapakai kelak, ianya sedikit sebanyak akan membantu kerajaan menangani lambakan suspek pesakit Covid-19 di seluruh negara dan menjimatkan kos untuk mewujudkan pusat-pusat kuarantin baharu bagi tujuan tersebut,” kata beliau menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, Mustafa turut mencadangkan syarikat-syarikat milik kerajaan yang mempunyai perniagaan hotel dicadangkan membenarkan premis mereka digunakan dan dijadikan sebagai pusat kuarantin bagi menampung lambakan pesakit Covid-19 semasa ini.

Katanya, ini berikutan penetapan pada waktu ini yang dilaksanakan adalah pesakit Covid-19 kategori satu dan dua untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah berkemungkinan merbahayakan kesihatan kepada isi rumah yang lain selain akan wujud persepsi masyarakat yang agak skeptikal terhadap individu yang sedang dikuarantin ini.

Katanya lagi kos untuk mendiami hotel ini, dicadangkan ditanggung oleh mana-mana pesakit yang berkemampuan seperti mana proses kuarantin individu dari luar negara ke Malaysia.

“Begitu juga sekiranya pihak swasta yang ingin turut melibatkan diri menaja mana-mana hotel bajet untuk tujuan yang sama dan dicadangkan untuk dikecualikan cukai tahunan sebagai timbal balik atas komitmen membantu kerajaan memerangi pandemik ini. Ianya secara tidak langsung dapat membantu perniagaan hotel yang terjejas kini,” tambahnya.-MalaysiaGazette