Jamal Musiala.
LONDON – Bintang muda sensasi, Jamal Musiala dikatakan sedang dalam perbincangan kontrak baru bersama pasukannya Bayern Munich, lapor Goal.com.
Penyerang berusia 17 tahun itu dilaporkan meminta gaji yang tinggi iaitu bernilai £100,000 seminggu selepas berjaya membuat 20 penampilan bersama pasukan senior kelab itu.
Jamal kini mempunyai baki kontrak pemain mudanya selama 18 bulan dan Bayern sedang berusaha untuk memastikan masa depannya dihargai oleh pasukan kelab gergasi Jerman itu.
Jika perbincangan kontrak baru itu gagal, Manchester United bersedia untuk merampas pemain muda tersebut.
Namun pengurus pasukan Bayern, Hansi Flick mahu memastikan Jamal akan berada bersama pasukan Bayern untuk jangka masa yang lama.
“Jamal merupakan seorang pemain yang berbakat dan berkualiti. Pengurusan Bayern akan memastikan dia akan mendapat habuan yang setimpal dengan bakat yang dia ada.
“Dia telah berjaya mewakili pasukan antarabangsa England Bawah 21 dengan membuat dua penampilan. Tetapi Persatuan Bola Sepak Jerman dalam proses untuk memberikan dia peluang untuk bermain dengan pasukan kebangsaan pada masa terdekat ini,” katanya. – MalaysiaGazette