Petugas kesihatan melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap gelandangan pada Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri 1 2021 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Lebih 80 gelandangan yang berkeliaran di sekitar ibu negara diselamatkan dan dibawa ke Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku awal pagi tadi bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri 1 (2021) tersebut dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, KPJ Tawakal, Jabatan Imigresen Malaysia serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Antara lokasi yang terlibat bagi mengesan golongan gelandangan termasuklah di sekitar Chow Kit, Lebuh Pudu, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid Jamek, Jalan Tun Perak dan Brickfields.

Reaksi gelandangan sewaktu melakukan ujian saringan Covid-19 pada Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri 1 2021 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2021.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah berkata, operasi bersepadu bermula pada pukul 11.30 malam itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam kalangan gelandangan.

Menurut beliau, operasi bersepadu dengan kekuatan seramai 95 anggota dari pelbagai agensi itu akan dijalankan selama tiga hari bermula semalam bagi mengesan gelandangan yang berada di sekitar ibu kota.

Seorang gelandangan cuba melarikan diri sewaktu membawanya melakukan ujian saringan Covid-19 pada Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri 1 2021 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di sekitar Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2021.

“Gelandangan yang diselamatkan kemudiannya dibawa ke Pusat Khidmat Gelandangan Medan Tuanku untuk menjalani ujian saringan Covid-19 dan pemeriksaan kesihatan selain mengenal pasti mereka yang bergejala.

“Keputusan ujian calitan akan diketahui pagi ini dan mereka yang didapati positif Covid-19 akan diasingkan di satu tempat khas supaya tidak bercampur dengan yang lain.

“Gelandangan yang keputusan ujiannya negatif pula akan ditempatkan di Pusat Komuniti Sentul dan Setiawangsa,” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette selepas tamat operasi.

Mengulas lanjut, Mahadi berkata, selepas ditempatkan di pusat komuniti dalam tempoh sebulan, golongan kurang bernasib baik tersebut kemudiannya akan dipindahkan ke Pusat Sementara Gelandangan (PSG) Taman Desa.

Anggota Angkatan Pertahanan Malaysia membawa seorang gelandangan bagi melakukan ujian saringan Covid-19 pada Operasi Bersepadu Menyelamat Gelandangan Siri 1 2021 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di sekitar Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 24 JANUARI 2021.

Tambah beliau lagi, hanya gelandangan lelaki sahaja akan ditempatkan di PSG berkenaan manakala wanita di satu lokasi yang lain.

“Di sana mereka akan menjalankan aktiviti yang bersesuaian selain diajar kemahiran tertentu seperti bercucuk tanam. Jurulatih turut dipanggil untuk melatih mereka kemahiran-kemahiran tersebut.

“Kita juga sudah kenal pasti satu kawasan berhampiran dewan tersebut di bawah Rizab Rentis TNB, tengok lah apa yang bersesuaian untuk diusahakan.

“Kalau boleh cari tanaman yang hasilnya boleh dituai dengan cepat seperti timun atau cili. Jadi itu merupakan antara perancangan yang akan dilaksanakan,” ujarnya. – Malaysia Gazette.