KUALA LUMPUR – Ar Rahnu YaPEIM (ARY) memperkenalkan Ar Rahnu YaPEIM i-Protect yang menawarkan takaful perlindungan terhadap transaksi gadaian dengan nilai perlindungan takaful serendah RM1.25 bagi setiap RM1,000 nilai marhun (nilai emas) untuk tempoh perlindungan sehingga 12 bulan.

Ar Rahnu YaPEIM i-Protect adalah produk pertama yang menawarkan perlindungan takaful untuk melindungi barang kemas milik pelanggan sekiranya berlaku perkara tidak diingini kepada mereka.

Produk ini mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung oleh waris dalam mendapatkan semula barang gadaian apabila berlaku perkara tidak diingini kepada para pelanggan.

Produk ini memastikan segala jumlah pembiayaan termasuk upah simpan yang perlu dibayar kepada Ar Rahnu YaPEIM ditanggung sepenuhnya oleh penyedia takaful.

Produk Ar Rahnu YaPEIM i-Protect adalah kerjasama bersama Etiqa Family Takaful Berhad.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, kriterianya terbuka untuk semua transaksi gadaian.

Syarat kelayakannya terbuka kepada pelanggan yang berumur dari 18 tahun sehingga 65 tahun.

Menurutnya, apabila berlaku kematian dan kecacatan kekal, waris boleh mengaktifkan pelindungan yang sudah dilanggan sebelum ini. – MalaysiaGazette