Empat kenderaan terlibat dalam kemalangan di Lebuh raya Utara Selatan arah utara berhampiran Tanjung Malim malam tadi menyebabkan dua parah.

KUALA LUMPUR – Dua parah manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan yang membabitkan empat kenderaan di Kilometer 401 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran laluan susur keluar tol Tanjung Malim

Dalam insiden jam 11.20 malam itu, kesemua pemandu kenderaan dalam perjalanan dari ibu negara menuju ke Perak.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan berlaku apabila lori yang berada di lorong kiri lebuhraya itu mengubah laluan ke lorong kanan.

“Pemandu lori berkenaan mahu memotong sebuah treler yang berada di hadapannya .

“Namun cubaan pemandu lori itu menyebabkan sebuah van yang berada di belakang lori berkenaan tidak sempat mengelak lalu terlanggar lori yang mengubah laluan itu.

Empat kenderaan terlibat dalam kemalangan di Lebuh raya Utara Selatan arah utara berhampiran Tanjung Malim malam tadi menyebabkan dua parah.gambar ihsan Trafik Selangor

“Pemandu van sekuriti keselamatan itu juga melanggar di sisi kanan treler berkenaan sebelum merempuh satu lagi lori yang dihentikan di lorong kecemasan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Akibat perlanggaran itu tambah beliau, van itu remuk teruk di bahagian hadapan.

Menurut Azman, kesemua mangsa yang berusia 30 hingga 56 tahun itu dirujuk ke Hospital Slim River, Perak untuk rawatan lanjut.

Tambah beliau, dua mangsa iaitu pemandu lori parah dan sedang dirawat manakala pemandu van sekadar cedera ringan.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, ujarnya.

Azman berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi Inspektor Nur Sabrina Abd Rashid di talian 013-4666088. – MalaysiaGazette