Faris Ramli.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain PKNS FC dan Terengganu FC, Faris Ramli kembali semula ke Liga Singapura apabila diumumkan sebagai pemain baharu kelab Lion City Sailors FC untuk musim 2021.

Pemain yang berusia 28 itu dibawa masuk untuk memperkuatkan jentera serangan pasukan kerana Lion City Sailors akan beraksi dalam saingan AFC Cup.

“Kami mengesahkan Faris Ramli telah menyertai pasukan untuk musim 2021. Dia membuat keputusan untuk pulang ke Liga Premier Singapura setelah semusim bersama kelab dari Malaysia, Terengganu FC.

“Kehadiran pemain sayap itu akan menambah kelajuan, kreativiti untuk membantu mencapai matlamat pasukan,” kata kenyataan rasmi daripada kelab tersebut.

Ketika bersama Terengganu, Faris menjaringkan tiga gol dalam sembilan penampilan Liga Super. Sebelum menyertai Terengganu, Faris cukup cemerlang dalam saingan Liga Singapura apabila menjaringkan 16 gol dalam 24 penampilan bersama Hougang United pada musim 2019.

Pemain yang membuat 56 penampilan bersama skuad kebangsaan Singapura itu turut menerima anugerah pemain terbaik Liga Premier Singapura pada musim 2019. – MalaysiaGazette