Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menjemput Jabatan dan Agensi Kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta institut pengajian awam untuk mengemukakan permohonan pembiayaan di bawah Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli Nasional (NCTF).

NCTF yang ditubuhkan pada 2015 untuk membiayai pelaksanaan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan, pengurusan dan perlindungan sumber, kesedaran serta usaha-usaha konservasi.

Sejak ditubuhkan, KetSA meluluskan 41 kajian yang mana 17 kajian telah selesai dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, permohonan pembiayaan di bawah Tabung Amanah NCTF bagi tahun 2021 adalah berkaitan bidang fokus penggunaan teknologi dan pendigitalan pengurusan hutan; pemuliharaan spesies liar flora dan fauna selain harimau, termasuk kajian non-detrimental findings (NDF); kajian jumlah nilai ekonomi dan pembayaran untuk perkhidmatan ekosistem dan pemuliharaan dan pengurusan ekosistem serta tapak ekologi penting termasuk kawasan ekopelancongan.

Selain itu, pengurusan dan pencalonan baharu kawasan berkepentingan biodiversiti antarabangsa seperti tapak-tapak Ramsar, Man and Biosphere (MAB) dan pengiktirafan geopark; pemuliharaan biodiversiti marin dan perikanan darat; dan pembangunan kapasiti dan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) untuk akses kepada sumber biologi serta perkongsian faedah (ABS).

Menurutnya, pemohon boleh memohon pembiayaan dana sehingga RM1,000,000 dengan tempoh projek antara enam bulan hingga dua tahun.

Permohonan pembiayaan, dokumen-dokumen projek dan borang permohonan boleh diperoleh di portal NCTF (http://www.ketsa.gov.my/ms-my/biodiversiti/nctf/Pages/default.aspx) dan hendaklah dikemukakan kepada sekretariat NCTF sebelum 30 Jun 2021.

Katanya, KetSA mengalu-alukan sumbangan pihak bukan kerajaan khususnya sektor swasta kepada tabung ini.

Pihak-pihak yang ingin menyumbang kepada tabung amanah NCTF boleh berbuat demikian dengan menyalurkan peruntukan kepada akaun bernombor 160140010004397, Alliance Islamic Bank Berhad (Ketua Setiausaha, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli). – MalaysiaGazette