Rakyat tidak perlu beratur panjang untuk berurusan di pejabat-pejabat Kumpulan Wang Simpnan Pekerja (KWSP) ketika berlaku pandemik Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Rakyat tidak perlu beratur panjang untuk berurusan di pejabat-pejabat Kumpulan Wang Simpnan Pekerja (KWSP) ketika berlaku pandemik Covid-19.

Datuk Seri Najib Razak berkata, KWSP boleh bekerjasama dengan bank-bank untuk menyediakan perkhidmatan memohon i-Akaun melalui rangkaian ATM bank di seluruh negara.

Bekas perdana menteri itu berkata, bank-bank sudah ada butiran ahli KWSP seperti nombor MyKad (untuk dipadankan dengan nombor akaun KWSP) dan nombor telefon.

Kata laluan sekali guna untuk aktifkan i-Akaun bagi kali pertama boleh dipohon di ATM – sama ada dicetak atas slip ATM atau dihantar terus melalui SMS ke nombor henfon pemohon.

Menurutnya, proses ini tidak berbeza besar dengan permohonan untuk aktifkan permohonan perbankan Internet buat kali pertama.

Malah, katanya, perkhidmatan memohon password sekali guna juga boleh digunakan bagi mereka yang sudah ada i-Akaun tetapi terlupa password.

”Setelah i-Akaun diaktifkan (dan setelah memansuhkan segala syarat@kriteria i-Sinar), ahli KWSP boleh memohon segala pengeluaran secara atas talian tanpa keperluan untuk menyerah apa-apa dokumen sokongan dan diberi kelulusan automatik untuk pengeluaran sehingga RM10,000 seorang.

”Setelah diluluskan secara automatik, KWSP akan bayar pengeluaran tersebut terus kepada akaun bank atas nama pemohon sahaja.

”Bukan susah pun nak laksanakan dari segi teknologi, dasar atau proses. Cepat, mudah dan selamat. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan KWSP yang terpaksa menutup ibu pejabatnya di Jalan Raja Laut semalam selepas salah seorang kakitangannya disahkan dijangkiti Covid-19.

Sehubungan itu, KWSP menasihati pencarum supaya melaksanakan transaksi perkhidmatan tertentu secara dalam talian melalui i-Akaun atau menjadualkan semula urusan mereka melalui Janji Temu Online jika ada keperluan untuk hadir ke cawangan.

Sebelum ini ada beberapa cawangan KWSP ditutup selepas kakitangan disahkan positif jangkitan virus berkenaan. – MalaysiaGazette