Pandemik Covid-19 memberi kesan terhadap ekonomi negara menyebabkan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar.- Gambar hiasan,

PETALING JAYA – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lebih ketat akan menyebabkan lebih banyak perniagaan gulung tikar dan mengeruhkan lagi keadaan pengangguran, kata Presiden Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai.

Thian Lai berkata, pelbagai industri di Malaysia tidak berdaya untuk berdepan satu lagi PKP yang mengenakan kawalan ketat.

Beliau berkata demikian kepada Sinchew Daily sebagai mengulas laporan bahawa kerajaan sedang mempertimbangkan kawalan pergerakan “menyeluruh” selepas 4 Februari ini.

Dewan Perniagaan dan Industri Eropah-Malaysia dilaporkan mengingatkan ahli bersiap sedia dengan kemungkinan kawalan menyeluruh oleh kerajaan  selepas 4 Februari ini berikutan kes jangkitan COVID-19 yang terus meningkat.

Soh berkata, FMM juga ada menghantar wakil dalam mesyuarat dengan kerajaan yang dihadiri Dewan Perniagaan dan Industri Eropah-Malaysia.

Beliau bagaimanapun berkata, kawalan menyeluruh itu belum dimuktamadkan dan penuh ketidaktentuan.

“Kerajaan mengadakan mesyuarat dengan dewan dan persatuan perniagaan dengan harapan kami akan mengepalai usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan.

“Jika kes jangkitan harian masih tidak boleh diturunkan, maka kerajaan mungkin terpaksa melaksanakan PKP yang mirip dengan PKP pada Mac 2020,” katanya.

Thian Lai berkata, pihaknya ada menghantar peringatan kepada ahli bahawa 30 peratus kes jangkitan adalah berkaitan dengan sektor pembuatan dan 20 peratus bersangkut dengan sektor pembinaan. – MalaysiaGazette