Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kesukaran membeli komputer riba menyebabkan ramai pelajar terjejas dengan isu pembelajaran akibat pandemik Covid-19.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pihaknya sedang meneliti permohonan pelajar di kawasan DUN Melawati yang tidak berkemampuan terutamanya pelajar golongan B40 untuk mendapatkan kompuetr riba.

Tambah beliau, ia dilakukan bagi memudahkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menurut Juwairiya, setakat ini pihaknya hanya menerima kira-kira 20 permohonan yang membabitkan tiga buah institusi pendidikan iaitu sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Kami sedang mengusahakan komputer riba baharu bagi kegunaan pelajar daripada keluarga golongan B40 yang benar-benar memerlukan berdasarkan semakan kelayakan.

“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu proses pembelajaran yang lebih berkesan sekali gus memudahkan urusan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Juwairiya berkata, kekurangan alat peranti seperti gajet dan komputer menyukarkan pelajar khususnya yang berada di luar bandar kerana mereka perlu belajar secara dalam talian sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Perkara ini akan lebih terkesan jika terdapat anak yang bersekolah lebih dua orang,” ujarnya. – MalaysiaGazette