Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berucap sempena perhimpunan agensi di bawah jabatan itu hari ini.

KUALA LUMPUR – Prosedur Pengiktirafan Badan Pensijilan Halal Luar Negara Malaysia 2021 akan dilaksanakan segera bagi memperkemas prosedur pada masa depan.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, ini juga untuk  memperkukuhkan pensijilan halal Malaysia.

“Saya difahamkan, prosedur ini akan dibuka untuk ulasan awam (public comment) dan akan dimasukkan dalam portal www.halal.gov.my selama dua minggu.

“Ia bagi memberi peluang kepada pihak yang terlibat dan berkepentingan seperti badan pensijilan halal luar negara atau kedutaan asing untuk memberi ulasan dan pandangan,” katanya dalam ucapan sempena perhimpunan agensi di bawah jabatan itu hari ini.

Zulkifli Mohamad Al-Bakri ketika melancarkan I-MaqSD yang merupakan inisiatif baharu yang dirangka sebagai satu kaedah untuk mengukur secara saintifik tahap pengaplikasian prinsip Maqasid Syariah. Turut hadir timbalannya,  Ahmad Marzuk Shaary (kanan) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh (kiri).

Perhimpunan itu diadakan secara atas talian dan disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube di Putrajaya hari ini.

Turut hadir timbalannya, Ahmad Marzuk Shaary dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Zulkifli turut melancarkan I-MaqSD yang merupakan inisiatif baharu yang dirangka sebagai kaedah mengukur secara saintifik tahap pengaplikasian prinsip Maqasid Syariah dalam pelaksanaan fungsi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan ia dintegrasikan dengan 17 Matlamat Agenda 2030 Sustainable Development Goals (SDGs).

Dalam pada itu, ketika sidang media, Zulkifli mengesahkan JAKIM bakal mengaktifkan kembali Majlis Halal Malaysia (MHM).

MHM pernah ditubuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2016.

“Insya-Allah, MHM akan dihidupkan semula dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, timbul isu kartel daging haram bulan lalu sehingga menggemparkan umat Islam di negara ini.

Sementara itu, inisiatif I-MaqSD dirangka selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong yang telah meletakkan Maqasid Syariah sebagai pemacu pentadbiran Islam seperti mana dalam titah pembukaan Parlimen ke 14 pada 18 Mei 2020.

Pelaksanaan I-MaqSD menggunakan kaedah penyelidikan mix method iaitu kuantitatif dan kualitatif melibatkan enam bidang utama dan sebanyak 29 indikator berkait secara langsung dengan fungsi setiap agensi.

Inisiatif yang ang pertama kali diperkenalkan dan dilaksanakan itu berjaya mengukur secara sintifik tahap pengaplikasian dan pelaksanaan fungsi dan tugas-tugas agensi berdasarkan lima prinsip Dharuriyah Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. – MalaysiaGazette