Gambar hiasan.

KOTA BHARU – Perasaan reda yang ditarbiah kepada rakyat Kelantan dalam isu bekalan air selama ini jangan dijadikan alasan oleh pihak berwajib sehingga menyusahkan rakyat.

Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Machang, Mohd Fakaarudin Ismail berkata, nampaknya isu berkenaan tidak pernah selesai seolah-olah kerajaan mengambil mudah berkaitan perkara asas yang menjadi keperluan rakyat.

Sayap parti itu mengambil maklum mengenai isu ketiadaan bekalan air yang berlaku berikutan daripada masalah paip pecah serta teknikal dan ketidakcekapan pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dalam menyelesaikan masalah tersebut.

“Kita berharap penduduk Machang dan Kelantan khususnya bersabar dengan ujian dan musibat akibat kelalaian serta kegagalan pengurusan air terutama ketika kita sekali lagi sedang menjalani tempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Barisan kepimpinan Bahagian UMNO Machang dan Pemuda telah turut mengambil inisiatif membantu sebaik mungkin mereka yang terjejas dengan bekalan air ini.

“Kita juga wajar bertanya kepada kerajaan negeri dan AKSB, sampai bila penduduk Machang khususnya dan rakyat Kelantan keseluruhannya terpaksa melalui episod gangguan air yang seakan tidak berkesudahan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Mohd Fakaaruddin Ismail

Mohd Fakaarudin berkata, masalah air seakan menjadi isu yang sinonim dengan paip  bocor, bekalan air terputus, air kuning dan kotor, paip hanya ada angin, tetapi bacaan meter tinggi, manakala tekanan air terlalu perlahan telah berlaku di Kelantan sejak sekian lama.

Menurutnya, pihaknya tidak bertujuan hanya mengkritik kerajaan negeri dan pengurusan AKSB namun apa pelan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang sedang serta perlu dibuat oleh kerajaan negeri berteraskan slogan “Negeri Berkebajikan”?.

“Apakah menyediakan perkhidmatan air yang berkualiti bukan salah satu ciri kebajikan?

“Rakyat Machang dan Kelantan rasanya perlu segera secara bersama bangkit mendesak dan memohon kerajaan negeri serta AKSB agar tidak lagi flip flop dalam keputusan dan tindakan penyelesaian isu air ini kerana bantuan kerajaan pusat untuk penyelesaian masalah ini telah pun diterima.

“Kita juga kesal dengan kenyataan AKSB dalam pengumuman rasmi, bahawa kebocoran air mentah yang berlaku di Pulai Chondong tidak menjejaskan bekalan air bersih kepada penduduk sekitar,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Kebajikan Pemuda UMNO Kelantan berkata, kenyataan awal AKSB itu seakan memberi alasan untuk tidak menyegerakan tindakan yang sepatutnya.

“Kita bersyukur kerana Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob telah mengambil tindakan drastik untuk berusaha membantu semampu yang boleh bagi menyelesaikan masalah penduduk yang terjejas.

“Kita minta atas nama kebajikan rakyat, masalah ini diselesaikan dengan segera kerana air merupakan keperluan penting menyeluruh dalam kehidupan seharian dan tidak hanya selesai dengan ayat “segala kesulitan amat dikesali,” tegasnya.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. agak agak mana lagi teruk kelantan atau selangor..negeri kaya tuh.. hahahaha.. jadi sebelum kata tuh tengok kaki tuh duk di bumi ka tidak kalau setakat duk ataih karpet.. pi main jauh jauh..

  2. Rakyt kelate lebih rela tengok exco nya dpt merc baru…jgn lwan ulamak khkhkhkh nti msuk nraka

    Selangor kualiti air dijaga even tumph minyak terus stop operasi.. Punya lh jga rakyt lgi nk control sbotaj lagi, rasuah lagi.. Ada akai ka… Lgi nk jga 10juta penduduk berbnding klntan 1.5 juta

Comments are closed.