Pemain Malaysia, Aidil Zafuan Abdul Radzak .
KUALA LUMPUR – Bekas suami pelakon, Rita Rudaini iaitu Aidil Zafuan Abd Razak tampil menjelaskan dakwaan orang ramai yang melempar pelbagai tuduhan ke atas dirinya tanpa mengetahui perkara sebenar.
Menurut pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, dia sering didakwa tidak memberi nafkah kepada dua cahaya mata hasil perkahwinan bersama Rita iaitu Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna.
Aidil yang juga pemain kebangsaan Malaysia menegaskan, sebagai bapa yang bertanggungjawab, dia tidak pernah gagal untuk membayar nafkah kepada anak-anak mengikut ketetapan mahkamah.
“Saya difahamkan daripada tuduhan orang ramai yang mengatakan saya tidak memberi nafkah dan tidak menjalankan tanggungjawab membayar nafkah kepada anak-anak.
“Ingin saya nyatakan yang selama ini saya telah memberi nafkah setiap bulan tanpa gagal yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah. Saya ada semua bukti pembayaran ke dalam akaun,” tulisnya di Instagram milik beliau.
Anak kelahiran Negeri Sembilan itu juga berharap agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan kenyataan yang berunsur fitnah selain menegaskan supaya pihak bekas isteri tidak menjaja aib keluarga kepada pihak luar.
Selepas bercerai, Aidil berkahwin dengan Zarema Zainal pada 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Zeeyad dan Ayres Zachary.
Pada 2017, semua kes mahkamah membabitkan tuntutan nafkah anak, mutaah dan edah Rita daripada Aidil diputuskan.
Mahkamah memerintahkan Aidil membayar RM3,000 sebulan pada Januari 2015, manakala untuk tuntutan mutaah, dia diperintah membayar RM30,000 pada Oktober 2015.
Rita dan Aidil bernikah secara rahsia pada Februari 2008 di Songkhla, Thailand dan sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan pada September 2013. – MalaysiaGazette