Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam, Tan Sri R.Nadarajah bercakap pada sidang media sempena perayaan Thaipusam di Pejabat Tan Sri R.Nadarajah, Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Pedati yang membawa arca Dewa Murugan akan berlepas dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Bandar, di sini ke Kuil Sri Subramaniam Swamy di Batu Caves tanpa penyertaan penganut agama Hindu pada Rabu ini.

Ia akan diiringi polis dan Unit Kereta Peronda (MPV) bermula jam 2.30 atau 3 pagi.

Presiden Kuil Sri Subramaniam Swamy, Tan Sri R. Nadarajah berkata, para penganut Hindu dilarang mengiringi pedati itu berikutan penularan Covid-19.

Katanya, pedati berkenaan akan bergerak dengan kelajuan 5 kilometer sejam mengikuti laluan yang digunakan sebelum ini dan ia dijangka tiba di Batu Caves antara jam 5.30 hingga 6 pagi pada hari yang sama.

“Kita telah menulis beberapa surat kepada Kementerian Perpaduan Nasional dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum permohonan kami mengadakan sambutan kali ini ditolak.

“Namun kami juga mengemukakan beberapa siri rayuan kepada MKN menerusi surat dengan menjelaskan pergerakan pedati perak yang dianuti secara tradisional selama beberapa dekad dan akhirnya dibenarkan dengan pematuhan syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) penuh ketat oleh MKN.

“Jadi ketika pedati perak berlepas nanti, tidak akan ada iringan penganut dan mainan alat muzik tradisional, sebaliknya pedati hanya akan dikendalikan oleh 10 individu iaitu lima Ahli Jawatankuasa kuil dan lima orang juruteknik yang akan mengendalikan pedati itu sepanjang perjalanan itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tiada sebarang perarakan yang dibenarkan ketika proses mengendalikan pedati sebaliknya pedati hanya akan dikendalikan oleh 10 individu iaitu lima Ahli Jawatankuasa kuil dan lima orang juruteknik sempena perayaan Thaipusam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Pejabat Tan Sri R.Nadarajah, Batu Caves, Kuala Lumpur. Foto SYAFIQ AMBAK, 25 JANUARI 2021.

Nadarajah individu yang tidak terlibat, termasuk 73 ahli lembaga pengarah jawatankuasa kuil, tidak berada di Kuil Sri Maha Mariamman pada Rabu.

Katanya, penganut agama Hindu boleh menyaksikan sambutan dan upacara di dalam kuil secara langsung pada Khamis ini menerusi laman Facebook dan Youtube, ‘We Love Batu Caves’.

“Kami tak mahu seorang pun penganut muncul di kuil sebelum dan semasa pedati perak bergerak ke Batu Caves nanti lagipun larangan keluar rumah selepas pukul 10 malam sudah berkuatkuasa.

“‘Kereta peronda polis akan mengikuti kami (pedati perak) di hadapan sepanjang perjalanan.

“Jika ada yang degil, keluar rumah untuk upacara ini dan ditahan serta dikompaun polis kerana mengingkari SOP, pengurusan kuil tidak akan bertanggungjawab dan jangan menuding jari ke arah kami,” ujar beliau.

Menurut Nadarahaj pada jam 10.15 pagi Khamis ini, bendera akan dinaikkan menandakan permulaan sambutan Thaipusam diikuti upacara keagamaan dalam enam waktu sehingga semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu, pedati sama akan membawa arca ke kuil di Jalan Bandar pada Jumaan ini dengan menggunakan laluan yang sama pada jam 3 pagi dan dijangka tiba tiga jam kemudian.

Katanya, pihaknya tidak memohon liputan media selepas mengambil kira risiko jangkitan dan SOP yang perlu dipatuhi. – MalaysiaGazette