Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Warga asing yang mencari rezeki dengan mengutip kotak terpakai di taman perumahan pun kena samun.

Itu yang berlaku di Taman Pandan Indah semalam apabila seorang lelaki yang sedang mencari kotak telah diacukan pisau dan disamun oleh seorang suspek bersenjata.

Kejadian itu berlaku pukul 4.34 petang semalam, kata Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam melaporkan ada kejadian samun sebelum kereta peronda polis pergi ke lokasi untuk siasatan.

“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga asing telah disamun ketika berada di Jalan Pandan Indah 18, Pandan Indah.

“Mangsa ketika itu sedang mencari kotak sebelum didatangi suspek lelaki yang memberitahunya dalam rumahnya terdapat banyak kotak yang boleh diperoleh.

“Ketika mangsa mahu masuk di depan pagar rumah, suspek telah mengacukan pisau dan menyamun beg mangsa yang mengandungi wang tunai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, pada hari yang sama kira-kira setengah jam kemudian pasukan MPV dibantu Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang berada di tempat kejadian telah menahan seorang lelaki berusia 32 tahun.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas suspek polis merampas barang kes sehelai baju t-shirt warna putih, seluar pendek warna hitam, sebilah pisau berhulu warna hitam dan wang tunai berjumlah RM53.

“Semakan rekod ke atas suspek memiliki lapan rekod jenayah dan pernah terlibat dengan kes samun, pecah rumah, curi, ugutan jenayah, mencederakan orang dan dua rekod dadah,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaaan iaitu samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh 14 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.

“Keprihatinan orang ramai telah membantu menyelesaikan kes samun ini dan jika setiap orang menerapkan sikap prihatin ini sedikit sebanyak menyumbang kepada penyelesaian kes-kes jenayah,” tegas Mohamad Farouk.- MalaysiaGazette