Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman.

KUALA LUMPUR – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mensasar untuk mengurangkan kadar Air Tidak Berhasil (NRW) ke tahap 25% pada tahun 2025 dan seterusnya ke tahap 15% menjelang tahun 2049.

Komitmen itu dibuat selepas berjaya menurunkan purata NRW  tahun lalu kepada 28.6% berbanding 29.7% untuk tahun 2019.

Pencapaian ini telah melebihi sasaran pada kadar 29.2% yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Penurunan kadar NRW bagi tahun 2020 ini berjaya dicapai sungguhpun Air Selangor berdepan dengan situasi yang amat mencabar di tapak berikutan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah sedikit sebanyak mempengaruhi kemajuan kerja yang dirancang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata, penurunan sebanyak 1.1% ini juga bermakna kehilangan air terawat di dalam sistem pengagihan telah dapat dikurangkan sebanyak 43 juta liter sehari (JLH), iaitu bersamaan dengan 43 juta botol air bersaiz 1 liter sehari.

Penurunan kadar NRW ini berjaya dicapai melalui perancangan strategik dan pelaksanaan beberapa inisiatif, khususnya inisiatif dalaman yang bermula sejak tahun 2017.

Bagi tahun 2020, Air Selangor telah membelanjakan sebanyak RM255 juta untuk mengurangkan kadar NRW melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif, termasuk kejayaan mengesan lebih 90,000 kes paip bocor pada saluran paip di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selain itu, pelaksanaan program Pengesanan Kebocoran Secara Aktif yang telah mengurangkan insiden paip pecah sebanyak 51% daripada 5,398 kes pada tahun 2017 kepada 2,620 kes pada tahun 2020.

Hasilnya, Air Selangor merekodkan Indeks Paip Pecah (PBI) sebanyak 8 kes paip pecah bagi setiap 100 km, berbanding tanda aras PBI antarabangsa iaitu 13 kes paip pecah bagi setiap 100 km setahun.

Suhaimi menambah, Air Selangor juga telah memasang sebanyak 1,650 sensor pada paip-paip utama untuk mengesan kebocoran pada peringkat awal bagi membolehkan tindakan pembaikan dapat dilaksanakan segera.

Sistem pemantauan secara atas talian ini membolehkan tindakan pembaikan segera dapat dilaksanakan setelah data menunjukkan terdapat kebocoran di dalam paip.

Menurutnya, sehingga akhir tahun 2020, sebanyak 1,640 alat pengesan kebocoran kekal telah dipasang di 36 Zon Permeteran Daerah.

Air Selangor terus komited untuk mencapai penurunan NRW pada tahun ini dengan memperuntukkan sejumlah RM293 juta untuk dibelanja pada tahun 2021.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM170 juta telah diperuntukkan untuk Program Penggantian Paip Lama yang kritikal dan sebanyak RM16 juta untuk penukaran meter lama dan rosak, katanya. – MalaysiaGazette