Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dipersoalkan berhubung status pembelian sebanyak 150,000 komputer riba yang akan diberikan kepada seluruh pelajar di 500 buah sekolah di seluruh negara.

Pengumuman pembelian komputer riba yang mendapat peruntukan sebanyak RM150 juta itu telah diumumkan oleh Menteri Kewangan semasa Belanjawan 2021, kata Naib Presiden Mahasiswa Keadilan, Firzan Hakim.

Bagaimanapun sehingga ke saat ini, tiada sebarang makluman tentang proses penyerahan serta perkara-perkara asas bagaimana komputer riba ini dapat diperolehi.

Keadaan lebih malang apabila perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 telah berlaku, namun masalah yang dihadapi oleh pelajar-pelajar sekolah dan mahasiswa masih tidak berubah.

Firzan Hakimi

Pelajar dan mahasiswa masih berdepan kekangan dalam proses pembelajaran secara atas talian dan kemungkinan akan berlanjutan,’ katanya dalam kenyataan di sini.

Menurutnya, pelajar dan rakyat kebanyakan mempunyai hak untuk mengambil maklum tentang proses pengagihan serta apakah kriteria-kriteria yang diperlukan sebagai penerima.

Sebelum ini, tambah beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia pernah mencipta pemuka pada laman sesawang kementerian yang bertujuan masyarakat mengetahui secara terperinci bagaimana projek sekolah daif dijalankan.

Ujarnya, Menteri Pendidikan perlu bergerak dengan lebih pro-aktif dan agresif dalam memastikan kebajikan dan hak pelajar dipelihara.

‘Ini di antara kesan jika Dewan Rakyat atau Parlimen tidak bersidang, kerajaan mempunyai bidang kuasa seluas-luasnya dalam menentukan hala tuju negara tanpa ada sebarang proses semak dan imbang,” katanya. – MalaysiaGazette