Olga Freeman yang mempunyai msalah kesihatan mental mengaku tak bersalah bunuh anaknya seorang autisme berusia 10 tahun akibat tekanan sekatan pergerakan Covid-19.- Pix agensi.

LONDON – Seorang wanita mengaku mengelar sehingga menyebabkan kematian anak lelakinya yang juga kanak-kanak autisme berusia 10 tahun.

Tertuduh, Olga Freeman, 40, mengaku mempunyai masalah kesihatan mental kerana tidak dapat menjaga anak istimewanya lebih-lebih lagi dalam waktu kesempitan hidup akibat perintah kawalan Covid-19.

Wanita itu semasa pendakwaan secara maya di Old Bailey semalam bagaimanapun mengaku tidak bersalah membunuhnya anak lelakinya Dylan Freeman yang mempunyai masalah neurodevelopmental delay.

Freeman yang dalam pengawasan unit psikiatrik mengaku mengelar anaknya dan gagal bertanggungjawab sebagai seorang ibu akibat tekanan hidup dan persekitaran khususnya Covid-19.

Dylan yang berdepan kesukaran berkomunikasi, berdikari ditemui mati di kediamannya di Cumberland Park, Acton pada 15 Ogos lalu.

Mayat kanak-kanak malang itu ditemui polis di atas katil suspek dalam keadaan kapas tersumbat dalam mulut selepas ibunya menyerah diri kepada polis.

Laporan bedah siasat mendedahkan kematian Dylan disebabkan saluran pernafasan tersumbat.

Malah semasa pendakwaan itu, mahkamah diberitahu Freeman sebagai ibu bergelut untuk menjaga anak istimewanya yang memerlukan pemerhatian rapi dan tidak mampu daripada segi kewangan termasuk menghantar ke sekolah khas semasa perintah sekatan pergerakan Covid-19.

Semasa kejadian berlaku, bapa mangsa, Dean Freeman yang merupakan seorang jurugambar selebriti berada di Sepanyol kerana urusan pekerjaan.

Rakan suspek, Edita Surpickaja memberitahu mahkamah, Freeman bergelut untuk memenuhi keperluan anaknya dan dalam yang sama kesihatan mental ibu itu semakin merosot.

Peguambelanya, Jane Bickerstaff QC berkata, pakar psikiatri yang memeriksa tertuduh bersetuju tanggungjawab wanita berkenaan semasa insiden itu berada dalam keadaan luar kawalan kerana terkesan dengan penyakit tekanan dan simptom psikotik.

Malah peguam belanya berhujah kepada mahkamah yang hukuman setimpal untuk tertuduh adalah rawatan di hospital dengan kawalan ketat.

Dalam rakaman keterangannya dia berkata, menjadi tanggungjawabnya sebagai ibu untuk ‘mengorbankan’ anaknya untuk membawa keseimbangan di dunia ini.

Rakannya, Surpickaja menyembunyikan pasport Freeman dan merakam perbualan telefon bimbit tertuduh mengaku dia tiada pilihan lain kecuali membunuh anaknya Dylan.

Kedua-dua wanita itu pergi ke balai polis di Acton sebelum suspek menjerit yang dia telah membunuh anaknya.

Suspek mengaku dia memberikan ubat melatonin kepada anaknya sebelum ‘membunuh’ dan meletakkan mayatnya seolah-olah anaknya sedang tidur bersama patung mainannya.

Kematian kanak-kanak autisme itu disifatkan sebagai satu tragedi tragis di tangan ibunya yang menderita untuk menjaga mangsa.

Freeman dijangka akan dijatuhkan hukuman di Old Bailey pada 11 Februari ini.

Bapanya pula berkata, mendiang anaknya adalah istimewa, cantik dan kanak-kanak artistik yang suka melancong dan melawat galeri seni lukisan selain gemar berenang.-MalaysiaGazette