JPN Selangor Ministry of Education (MOE) teacher rape jokes SMK Puncak Alam Ain
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mulai esok, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menambah Slot Program TV Pendidikan dalam program DidikTV@NTV7 khusus untuk calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2020.

Slot itu akan memberi fokus kepada kandungan pendidikan bagi membantu calon SPM tahun 2020 membuat persediaan sebelum menghadapi peperiksaan yang akan bermula pada 22 Februari ini.

Slot tambahan ini melibatkan dua jam pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 3 hingga 5 petang di saluran NTV7, kata satu kenyataan KPM hari ini.

KPM juga telah menambah lima jam waktu siaran di saluran yang sama pada hari Sabtu dan Ahad bermula pukul 9 pagi hingga jam
12.00 tengah hari dan pukul 3 hingga 5 petang.

Penambahan slot itu menjadikan keseluruhan waktu siaran
TV Pendidikan sebanyak 11 jam setiap hari yang disiarkan di saluran TV Okey, Astro Tutor TV dan DidikTV@NTV7.

Jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.- MalaysiaGazette